Monday, June 15, 2015

Tiga perseorangan kita ke separuh akhir


Chong Wei Feng mara ke separuh akhir acara perseorangan individu selepas mengalahkan Christie Jonatan dari Indonesia semalam.

SINGAPURA – Chong Wei Feng dan Mohamad Arif Abdul Latif meneruskan usaha memburu pingat emas badminton perseorangan lelaki Sukan SEA 2015 apabila melepasi peringkat suku akhir selepas bertarung sengit di Stadium Tertutup Singapura semalam.

Wei Feng terpaksa bekerja keras sehingga ke set penentuan sebelum menang ke atas Christie Jonatan dari Indonesia 20-22, 21-19, 21-18 dan nasib serupa dilalui oleh Mohamad Arif yang turut tidak diberikan laluan mudah oleh lawannya dari Thailand, Boonsak Ponsana sebelum menang 22-20, 19-21, 21-19.

Wei Feng dijadual menentang Tanongsak Saensomboonsuk dari Thailand manakala Mohamad Arif akan bertemu pemain Singapura, Loh Kean Yew dalam persaingan separuh akhir hari ini.

Wei Feng berkata dia memikul tugas berat untuk ke perlawanan akhir berikutan sasaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ialah empat wakil negara berada di pentas akhir kali ini.

“Sasaran pasukan adalah empat aksi final, jadi saya tahu itu pastinya tanggungjawab saya kerana beregu campuran, beregu wanita mungkin layak ke final dan kita sudah ke final acara berpasukan wanita.

“Esok (hari ini) saya akan lawan Tanongsak (Saensomboonsuk) dari Thailand. Kami pernah jumpa sebelum ini, ada menang ada kalah, mungkin tiga atau empat kali jumpa sebelum ini tetapi saya berharap dapat menewaskannya,” katanya selepas menamatkan aksi suku akhir semalam.

Sementara itu, pemain muda negara, Goh Ji Wei melakar kejutan apabila mara ke separuh akhir perseorangan wanita selepas menundukkan pemain Thailand, Nichaon Jindapon yang berada pada kedudukan ke-36 dunia dengan keputusan 21-16, 23-21.

Ji Wei, yang berada di ranking ke-264 dunia, berkata dia seperti tidak percaya dengan keputusan tersebut terutama apabila menewaskan Nichaon yang jauh lebih berpengalaman berbanding dirinya.

“Saya hanya cuba yang terbaik, akhirnya berjaya melakar kejutan. Saya sendiri tidak jangka meraih kemenangan ini. Sekarang sekurang-kurangnya dapat menghadiahkan satu pingat gangsa untuk negara dalam penampilan pertama saya di Sukan SEA.

“Tetapi saya berjanji akan berusaha sedaya upaya untuk menang perlawanan separuh akhir esok (hari ini) dan seterusnya mara ke akhir,” katanya.

Jin Wei akan menentang pemain dari Indonesia, Hanna Ramadini yang sebelum itu mengalahkan pemain Singapura, Liang Xiaoyu 21-15, 11-21, 21-14. 

Sumber – UTUSAN

No comments:

Post a Comment