Monday, June 15, 2015

Skuad recurve sapu 
empat emas, Fatin bidik 3

Fatin Nurfatehah Mat Salleh membidik sasaran ketika bersaing dalam
FATIN NURFATEHAH MAT SALLEH membidik sasaran ketika bersaing dalam acara compound individu wanita Sukan SEA 2015 di Padang Kriket Kallang, Singapura semalam. UTUSAN

SINGAPURA - Selepas sekian lama dibayangi rakan-rakan mereka yang bersaing dalam disiplin recurve, pemanah compound negara seolah-olah bangkit seperti harimau luka semalam untuk membawa pulang empat daripada lima pingat emas yang dipertandingkan dalam Sukan SEA 2015.

Fatin Nurfatehah Mat Salleh menjadi pemanah paling mencuri perhatian apabila merangkul tiga pingat emas semalam setelah menjuarai individu wanita, berpasukan wanita dan campuran yang menjadi hadiah terbaik kepada atlet yang menyambuthari jadi ke-24 pada 4 Jun lalu.

Kem memanah negara hampir menyapu bersih kesemua lima emas semalam, tetapi Zulfadli Ruslan, yang membidik 137 mata dalam perlawanan akhir individu lelaki, tewas satu mata kepada juara bertahan dari Vietnam, Nguyen Tien Cuong.

Selain menamatkan kemarau tanpa pingat emas sejak Sukan SEA 2005, pencapaian luar biasa skuad compound itu membolehkan mereka mengatasi pencapaian pasukan recurve yang sekadar memenangi satu emas di sini.

Bagaikan tidak percaya dia mampu beraksi dengan begitu cemerlang semalam, Fatin berkata, pencapaiannya sebelum ini hanyalah melayakkan diri ke suku akhir individu serta gagal memenangi sebarang pingat dalam Sukan SEA Myanmar 2013.

“Ini saya anggap sebagai hadiah hari lahir pada minggu lalu dan tidak tahu hendak cakap apa-apa. Selepas kali keempat bertanding dalam Sukan SEA, kali ini saya berjaya membawa pulang tiga pingat emas.

“Sebenarnya tiada apa-apa rahsia terhadap prestasi keseluruhan saya serta pasukan memanah compound, cuma kami melakukan persediaan cukup rapi kali ini dan inilah hasil yang kami dapat.

“Apa yang penting, kejayaan yang kami capai di sini diharap dapat membuka mata kepada pihak berkepentingan agar pasukan compound mendapat layanan yang sama rata seperti pasukan recurve dan harap masa depan pemanah-pemanah junior dalam sukan ini lebih terbela,” katanya kepada pemberita.

Pasukan compound wanita negara yang terdiri daripada Saritha Cham Nong, Nor Rizah Ishak dan Fatin mencipta permulaan sempurna di Lapangan Kriket Kallang selepas mudah menewaskan Thailand 223-210 untuk emas pertama skuad negara semalam.

Kecemerlangan itu diteruskan oleh Mohd. Juwaidi Mazuki, Lee Kin Lip dan Zulfadli mengekalkan ketenangan mereka ketika ditentang sengit oleh Thailand dalam acara berpasukan lelaki yang menyaksikan pemenang terpaksa ditentukan melalui panahan penentuan sebelum Malaysia mengesahkan kemenangan 30-29 selepas kedua-dua pasukan terikat 222-222.

Ngauman Malaysia semakin garang dalam perlawanan merebut emas ketiga, kali ini giliran Juwaidi dan Fatin yang memusnahkan Thailand, melalui kiraan 151-140 dan dalam disiplin campuran dan emas keempat hadir sekali lagi menerusi Fatin yang tampak cukup unggul sepanjang pertandingan apabila mengalahkan Amaya Cojuangco dari Filipina 138-136 dalam individu wanita.

Juwaidi turut memenangi satu pingat gangsa dalam acara individu lelaki selepas menewaskan Sapriatno Sapriatno dari Indonesia dalam penentuan tempat ketiga dengan keputusan 143-137.

Secara keseluruhan, pasukan memanah muncul juara keseluruhan apabila mendapat lima pingat emas, tiga pingat perak dan dua gangsa dengan compound menyumbangkan empat pingat emas, satu perak dan satu gangsa. 

Sumber– UTUSAN

No comments:

Post a Comment