Wednesday, May 27, 2015

PTAM ingin tebus kegagalan di Sukan SEA Singapura

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Skuad tinju negara tekad mahu menebus kembali maruah dengan meletakkan sasaran untuk meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas pada Sukan SEA di Singapura Jun ini, selepas gagal menyumbang emas pada edisi 2013 di Myanmar.

Setiausaha Kehormat Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM), Mohamed Jani Ismail berkata persatuan meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada tujuh peninju yang kini giat menjalani latihan dan persiapan selama 24 hari bermula 7 Mei lepas di Kazakhstan bagi merealisasikan sasaran itu.

Katanya tujuh peninju yang disenaraikan adalah Mohd Fuad Mohd Reduan (49kg light fly weight), Muhammad Azuwan Mohd Nor (52kg fly weight), Arfiqanie Ahmad Anshori (56kg bantam weight), Khir Akyazlan Azmi (64kg light welterweight), Muhamad Al-Nazirul Othman (60kg light weight), Rudy Petrus (75kg middle weight) dan petinju tunggal wanita negara, Lee Ai Jin (acara wanita 48kg light fly weight).

"Peninju kita lebih berkeyakinan pada kali ini apabila mereka berpeluang berlatih bersama beberapa orang peninju handalan Kazakhstan dan Uzbekistan yang terkenal dengan kepantasan ketika beraksi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Selasa.

Mohamed Jani berkata tujuh peninju negara yang menjalani latihan persiapan di Kazakhstan akan pulang ke tanah air pada 31 Mei ini sebelum berangkat ke Singapura keesokan harinya.

"Mereka (peninju) kini berada dalam keadaan terbaik dan bersedia untuk menggalas cabaran di Singapura," katanya.

Mohamed Jani berkata PTAM tidak meletakkan sandaran pingat kepada atlet tertentu kerana percaya bahawa semua peninju mempunyai peluang untuk meraih pingat emas negara sebaik mereka masuk ke gelanggang.

Beliau berkata secara keseluruhan PTAM membuat sasaran tiga pingat tanpa mengira warna.

Kali terakhir skuad tinju negara meraih pingat emas pada temasya Sukan SEA edisi Palembang, Indonesia pada 2011 apabila Mohd Farkhan Mohd Haron mengungguli acara lelaki 75kg middle weight.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik skuad tinju negara adalah dua emas pada edisi 2009 di Laos menerusi dua petinju lelaki iaitu Muhamad Farkhan Haron dalam acara (75kg middle weight) dan Muhd Fairus Azwan Abdullah (81kg heavy weight).

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment