Monday, June 8, 2015

Bola jaring sumbang perak

SKUAD bola jaring negara yang meraih pingat perak merakam gambar kenangan dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong selepas perlawanan akhir menentang pasukan tuan rumah di OCBC Arena semalam.

SINGAPURA – Hasrat skuad bola jaring negara untuk mempertahankan pingat emas acara tersebut yang dimenangi pada Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur berkecai apabila tewas dengan perbezaan tiga mata kepada pasukan tuan rumah, Singapura pada perlawanan akhir semalam.

Singapura yang mendapat sokongan daripada penyokong tempatan menang 46-43 pada perlawanan yang berlangsung di OCBC Arena itu.

Turun dengan sema­ngat yang berkobar-kobar untuk membuktikan keupayaan selepas hampir 14 tahun acara tersebut tidak dipertandingkan, pasukan bimbingan Aminah Asaari berjaya memberikan sai­ngan sengit biarpun me­nyedari bahawa Singapura adalah kuasa bola jaring di rantau ini.

Bagaimanapun, aksi pemain negara harus dipuji apabila mempamerkan semangat melawan yang cukup tinggi sehingga satu ketika berjaya menyamakan kedudukan 39-39 setelah ketinggalan enam mata tetapi Singapura yang beraksi di laman sendiri berjaya memanfaatkan ke­lebihan tersebut untuk memenangi perlawanan.

Suku pertama menyaksikan kedua-dua pasukan tampil agak seimbang, namun Singapura berada di depan dengan jumlah jaringan 11-10 pada perlawanan yang dihadiri oleh lebih 1,000 peminat termasuk kehadiran presiden negara itu, Tony Tan Keng Yam dan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong.

Biarpun gagal mempertahankan gelaran yang di­­menangi sebelum ini, Aminah tetap berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan oleh para pemainnya.

Walaupun Singapura muncul juara tetapi kemenangan yang mereka peroleh itu tidak semudah yang dijangkakan.

“Hari ini (semalam), nasib tidak menyebelahi kami. Kami tewas tetapi mereka (Singapura) juga tidak diberi laluan mudah sebelum muncul juara. Biarpun kami kalah, saya rasa kami berjaya memberi saingan sengit sehingga ke wisel penamat dan mampu beraksi tanpa tekanan.

“Pada suatu ketika, kami berjaya mengikat kedudukan 39-39 dan da­­lam situasi tersebut, kedua-dua pasukan sudah pasti berasa tertekan le­bih-lebih lagi ini merupakan perlawanan penentuan pi­ngat emas,” katanya ketika di­temui sejurus selepas tamat perlawanan semalam.

Bagi ketua pasukan, Yap Suo Kuen, dia berharap Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur nanti akan menjadi medan membalas dendam terhadap kekalahan yang mereka alami walaupun dia masih belum memutuskan mengenai masa depannya.

“Saya berasa sedih ke­rana kami sudah terlalu hampir untuk mendapatkan pingat emas tetapi tiada rezeki dan harap aksi di tempat sendiri dalam masa dua tahun lagi, kami akan rampas kembali pi­ngat emas ini.

“Sekarang saya sudah berusia 30 tahun, mungkin saya akan terus beraksi nanti atau mungkin juga saya akan bersara. Apa pun, saya percaya rakan-rakan lain akan bangkit dan cuba menang pingat emas yang sebelum ini kita menangi pada 2001,” katanya.

Sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment