Wednesday, May 27, 2015

Atlet Ski Air Arianna Chow tarik diri daripada Sukan SEA akibat Kecederaan

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Atlet ski air, Arianna Chow sah menarik diri daripada menyertai Sukan SEA ke-28 di Singapura, bulan depan, berikutan mengalami kecederaan serius pada bahagian lengannya semasa menyertai Terbuka Indonesia, Mac lepas.

Persekutuan Ski Air dan Papan Luncur Malaysia (MWWF) dalam kenyataan berkata badan induk itu sudah memaklumkan kepada Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berhubung keadaan Arianna itu, pagi tadi.

"Saya sebenarnya sangat kecewa kerana tidak dapat menyertai Sukan SEA. Kalau boleh saya mahu memulakan latihan hari ini, (tetapi) saya tidak mempunyai pilihan selain mendengar nasihat doktor dari Institut Sukan Negara (ISN).

"Ini demi masa depan saya dan ada perkara yang kita tidak boleh tergesa-gesa. Saya tidak sabar untuk kembali menjalani latihan, tetapi saya harap rakan sepasukan dapat mencatat kejayaan yang besar pada temasya itu," kata Arianna dalam kenyataan hari ini.

Pengurus pasukan, Hanifah Yoong berkata Arianna mempunyai peluang cerah untuk meraih pingat perak dalam acara tricks wanita dan sebutir lagi perak dalam kategori wanita keseluruhan.

"Doktor (ISN) dalam laporan terakhir menyatakan bahawa beliau (Arianna) tidak boleh meneruskan latihan sekurang-kurangnya selama empat bulan untuk pemulihan. Arianna kini berusaha keras untuk pulih dengan bantuan ahli fisioterapi ISN," kata Hanifah Yoong.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment