Monday, March 23, 2015

Peluang Bola Jaring Samar Jika Tiada Emas Di Singapura


Ahli pasukan Selangor meraikan kejayaan muncul johan Kejohanan Bola Jaring Remaja Kebangsaan
KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Peluang agak samar untuk sukan bola jaring tersenarai dalam Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur jika skuad kebangsaan tidak pulang dengan pingat emas pada temasya dwitahunan itu di Singapura, Jun depan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata adalah tidak terlalu tinggi meletakkan pingat emas sebagai kayu pengukur kerana Malaysia merupakan gergasi bola jaring di rantau Asia Tenggara.

Katanya, walaupun prestasi sukan itu agak menggusarkan tahun lepas, namun MSN masih menaruh harapan besar kerana selain pemenang pingat emas, Malaysia juga adalah juara lima kali berturut-turut Kejohanan Bola Jaring Remaja Asia.

"Sukan SEA kali ini adalah satu kejohanan yang amat penting kepada Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM). Saya harap skuad bola jaring dapat tingkatkan usaha untuk pastikan penyertaan mereka kali ini bukan semata-mata untuk menyertai temasya Sukan SEA tapi untuk pastikan pingat emas dibawa balik.

"Sekiranya masih gagal, saya amat khuatir ini sedikit sebanyak menyukarkan lagi PBJM untuk justifikasikan keperluan dan kepentingan sukan bola jaring dipertandingkan di Sukan SEA 2017," katanya kepada pemberita selepas penutup Kejohanan Bola Jaring Remaja Kebangsaan ke-31 di Stadium Juara Bukit Kiara di sini Ahad.

Mengenai persiapan skuad bola jaring kebangsaan, Ahmad Shapawi berkata beliau berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan sejak tahun lepas ketika skuad negara membuat persiapan menyertai Kejohanan Dunia di Australia.

Beliau berkata pihaknya akan membantu pihak persatuan menyelesaikan beberapa masalah dari segi latihan termasuk mendapatkan pelepasan pemain selain memperbanyakkan program latihan secara intensif untuk memastikan skuad negara benar-benar bersedia bagi menghadapi cabaran terutama daripada pasukan tuan rumah Singapura.

"MSN akan cuba bantu untuk dapatkan pelepasan untuk pastikan para pemain dapat beri tumpuan bukan sahaja dari segi masa tetapi juga perhatian secara sepenuh masa dalam persiapan akhir menjelang Sukan SEA," katanya.

Pada perlawanan akhir hari ini, skuad remaja Selangor muncul juara selepas menjinakkan Johor dengan jaringan 47-38 dalam perlawanan sengit manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur meraih tempat ketiga selepas mengalahkan Pahang 57-45.

Pemain penyerang Selangor Nur Fariha Abdul Razak dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan manakala pemain Sabah Dayang Raflizawati Mohamed muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan 154 jaringan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment