Monday, June 15, 2015

Pelayaran tokok 
tiga emas lagi

SINGAPURA – Skuad pelayaran Malaysia melepasi sasaran apabila menang tiga pingat emas lagi semalam untuk membawa pulang keseluruhan tujuh sekali gus mencipta pencapaian luar biasa dalam Sukan SEA 2015.

Pencapaian itu melepasi sasaran lima pingat emas, iaitu rekod terbaik mereka yang dilakukan semasa Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur.

Pada hari sukan pelayaran melabuhkan sauhnya semalam di dua tempat berbeza iaitu Pusat Pelayaran Singapura dan Marina Bay, tiga lagi pingat emas berjaya ditokok menerusi acara Lelaki 420 (Bawah 19 tahun), berpasukan lelaki laser standard dan berpasukan wanita laser radial, selain turut meraih tiga pingat perak.

Gandingan Muhamad Uzair Amin Mohd. Yusof dan Naquib Eiman Shahrin memulakan aksi menjala emas untuk skuad negara semalam, tetapi lebih kepada untuk mengesahkan kemenangan mereka dalam acara Lelaki 420 kerana menang kesemua sembilan perlumbaan sebelum itu.

Tanpa sebarang masalah, mereka membuktikan kejaguhan mereka sekali lagi apabila menang perlumbaan terakhir untuk mengumpulkan 14 mata keseluruhan, jauh di depan pencabar terdekat dari Singapura, Matthew Lau-Loh Jia Yi.

Bertambah membanggakan dua atlet itu ialah pingat itu menggenapkan emas ke-50 untuk kontinjen Malaysia di Sukan SEA Singapura.

“Kami tetap merancang hendak menang pada hari ini walaupun sudah tahu pingat emas sudah berada dalam tangan. Kami tidak mahu mengambil mudah terhadap pesaing dari Singapura dan kami mahu menjauhkan lagi kutipan mata.

“Tetapi kami tidak sangka menjadi penyumbang emas ke-50 negara. Kami bersyukur dengan kejayaan kami di sini, kini kami harap mampu meneruskan rentak kejayaan ini dalam kejohanan dunia Ogos nanti,” kata Naquib.

Tambahnya, latihan selama sebulan di Greece menjadi intipati peningkatan prestasi mereka kerana sebelum ini mereka agak sukar menewaskan pasangan Si­ngapura itu dalam kejohanan lain.

“Sebelum ke Singapura, kami mengadakan latihan selama sebulan di Greece dan banyak mendapat ilmu serta mempelajari taktik baharu daripada pelayar-pelayar berkelas dunia di sana, di situ kami rasa banyak perubahan.

“Banyak yang kami belajar di Greece kami praktikkan dalam perlumbaan di sini dan hasilnya nampak ketara iaitu kami boleh mengalahkan Singapura, sebelum ini kami selalu berada di belakang mereka dalam perlumbaan yang disertai,” katanya.

Sementara itu, Khairulnizam Mohd. Afendy yang sebelum ini kecewa kerana gagal mempertahankan pingat emas dalam acara lelaki standard, menebus kehampaan dalam berpasukan lelaki laser standard bersama-sama Muhammad Farhan Hamid dan Ahmad Latif Khan Ali Sabri Khan.

Mereka mengecewakan trio Singapura, Colin Cheng, Ryan Lo dan Scott Glenn Sydney dalam perlumbaan akhir yang berlangsung di Marina Bay sebelum jejak mereka diikuti Nur Shazrin Mohamad Latif, Nurliyana Mohd. Latif dan Khairunneeta Mohd. Afendy yang menambah sengsara tuan rumah apabila meraih emas dalam acara berpasukan wanita laser radial.

Keseluruhannya, masa depan sukan pelayaran tampak begitu cerah apabila memungut tujuh pingat emas, lima perak dan dua gangsa, hanya ketinggalan tiga pingat emas di belakang Singapura. 

Sumber – UTUSAN

No comments:

Post a Comment