Friday, June 5, 2015

Tak kisah siapa lawan


BOLA jaring negara benam Thailand 71-32, semalam.

Skuad bola jaring kebangsaan enggan membuang masa dengan memikirkan soal lawan mana yang akan ditemui di separuh akhir esok.

Anak buah jurulatih Aminah Asaari itu mencatat rekod bersih di peringkat kumpulan apabila mengalahkan Thailand 71-32 pada perlawanan terakhir di OCBC Arena petang semalam.

“Kita sudah layak ke separuh akhir dan saya berpesan kepada pemain supaya tidak terlalu memikirkan soal siapa yang akan kita temui nanti.

“Tugas mereka ialah memastikan kemenangan bagi membolehkan kita ke final.

“Pemain harus sedar tanggungjawab mempertahankan emas Sukan SEA bukan mudah dan untuk itu, mereka tidak boleh sambil lewa.

“Setakat ini saya puji persembahan mereka dan saya harap kemenangan kali ini tidak membuatkan pemain leka,” katanya.

Skuad bola jaring kebangsaan hadir di Singapura dengan misi mengekalkan emas dimenangi di Kuala Lumpur 2001 - temasya pertama dan terakhir menyaksikan acara itu dipertandingkan.

“Saya mengharapkan doa dan sokongan semua warga Malaysia untuk membolehkan kita muncul juara buat kali kedua berturut-turut.

“Saya yakin dengan doa serta usaha keras pemain, misi mempertahankan emas ini bukan sesuatu yang mustahil,” katanya.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment