Thursday, June 4, 2015

Skuad bola jaring terus mengganas


PEMAIN negara, An Najwa Azizan (kiri) bijak melepaskan kawalan pemain Brunei pada aksi bola jaring Sukan SEA 2015 di OCBC Arena Singapura semalam yang menyaksikan Malaysia menang 82-24.

SINGAPURA – Skuad bola jaring negara tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan ketiga daripada empat perlawanan selepas menewaskan Brunei 82-24 pada aksi yang berlangsung di OCBC Arena semalam, sekali gus berjaya menempah slot ke peringkat separuh akhir.
Pada aksi tersebut, Malaysia bermula garang apabila mendahului permainan dengan catatan mata 21-3 pada suku pertama dengan jurulatih, Aminah Asaari kembali menyenaraikan Nor­a­­­shi­kin Kamalzaman sebagai penjaring utama selepas gagal menyerlah pada aksi menentang Singapura kelmarin.
Izyan Syazana Mohd. Wazir yang membentuk gandingan mantap bersama Norashikin juga beraksi cemerlang untuk membantu skuad negara menambah jumlah mata pada suku kedua menjadikan kedudukan 38-9 sebelum dia dikeluarkan untuk digantikan dengan An Najwa Azizan.
Suku ketiga menyaksikan Aminah membuat beberapa lagi pertukaran bagi memastikan semua pemainnya dapat mengekalkan kecergasan dan merasai suasana pertandingan sebenar sebelum beraksi pada pering­kat lebih tinggi tetapi terus me­ngekalkan Norashikin sebagai penjaring utama.
Kehebatan skuad negara terus gagal disekat pada suku ketiga apabila menambah 22 lagi mata berbanding Brunei dengan 10 mata untuk menjadikan kedudukan 60-19.
Malaysia yang memburu jumlah jaringan yang lebih besar untuk terus mendahului kedudukan teratas berbanding seteru utama, Singapura terus ghairah menambah mata yang menyaksikan perlawanan berakhir dengan keputusan 82-24.
Aminah ketika ditemui selepas perlawanan tersebut mengakui berpuas hati dengan corak permainan yang dipamerkan anak-anak buahnya. Namun, apa yang lebih menggembirakannya ialah kemampuan para pemain yang dapat mengekalkan tahap kecergasan dan prestasi.
“Saya membiarkan Nor­ashikin bermain penuh masa dengan keempat-empat suku supaya dia lebih ‘panas’ kerana semalam (kelmarin) dia hanya ber­aksi dalam dua suku masa sahaja ketika menentang Singapura.
“Kita yakin untuk mengatasi Thailand esok (hari ini) pada perlawanan terakhir kerana rekod pertemuan sebelum ini lebih banyak memihak kepada pasukan negara.
“Namun, apa yang menjadi keutamaan kita pada perlawanan esok (hari ini) adalah untuk mendapatkan seberapa banyak mata bagi memastikan kedudukan kita di tempat pertama tidak terjejas,” katanya.
Skuad kebangsaan kini me­ngumpul 313 mata keseluruhan me­lalui empat perlawanan dan ha­nya bolos 92 mata.
Sumber: Kosmo




No comments:

Post a Comment