Saturday, June 6, 2015

‘Tiada istilah penat’

Perkataan penat tidak ada dalam kamus pelumba lebuh raya negara, Mohd Harrif Saleh walaupun baru pulang daripada menyertai perlumbaan Jelajah Iran 2015 minggu lalu.

Pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu berkata, dia masih bersemangat untuk mengharumkan nama negara walaupun perlu melalui jadual perjalanan memenatkan sebelum tiba di Singapura Isnin ini.

“Segala persiapan saya berjalan lancar selepas baru saja menamatkan perlumbaan di Iran. Ia sebahagian daripada persiapan dan diharap mampu meneruskan momentum di sini,” katanya.

Jelasnya, saingan di Iran agak sukar kerana perlu melalui laluan berbukit sedangkan dia lebih kepada pakar pecut tetapi beranggapan setidak-tidaknya dapat menguatkan lagi kayuhannya di Singapura nanti kerana laluan lebih rata.


“Saya tidak berasa penat walaupun terpaksa beraksi secara berturut-turut, kalau hendak diikutkan saya semakin bersemangat untuk mencapai sasaran peribadi dengan sekurang-kurangnya memenangi pingat tidak kira apa warna sekali pun.

“Peluang untuk meraih pingat mungkin cerah terutama dalam acara kriterium tapi untuk lebuh raya saya rasa agak sukar sedikit,” kata pelumba dari pasukan bertaraf benua, Terengganu Cycling Team (TSG).

Harrif juga mengakui perlumbaan di Singapura tidak sukar seperti di tempat lain berikutan laluannya yang sangat landai dan kurang kawasan berbukit.

“Dari segi jalan raya, saya rasa tidak ada sebarang masalah buat kami dan kawasan berbukit pula tidak banyak. Saya rasa negara yang akan memberi tentangan nanti hanya Vietnam dan Filipina.

“Apa yang penting saya berada dalam keadaan baik dan tidak berdepan masalah kecederaan,” kata pelumba yang turut pakar dalam acara scratch (trek).

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment