Saturday, June 6, 2015

Misi Malaysia bermula


KONTINJEN Malaysia melangkah penuh bergaya ketika berarak masuk pada majlis perasmian Sukan SEA 2015 di Stadium Nasional Singapura malam tadi.



SINGAPURA – Misi Malaysia memburu jumlah keseluruhan 188 pingat tanpa mengira warna pada temasya Sukan SEA 2015 bermula secara rasmi hari ini sebaik perasmian temasya sukan dwitahunan itu berlangsung di Stadium Nasional, Singapura malam tadi.

Singapura menjadi tuan rumah pada edisi ke-28 ini selepas kali terakhir menganjurkannya 22 tahun lalu. Kali ini tugas selaku hos itu adalah bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan republik tersebut.

Acara pembukaan temasya bertemakan Meraikan Sesuatu Yang Luar Biasa serta maskot Nila (singa) bermula pada pukul 8.15 malam dan ia berlangsung penuh meriah di stadium yang dahulunya terkenal dengan ‘Sorakan Kallang’.

Malah, laman keramat yang terletak di Hab Sukan Singapura itu merupakan stadium berbumbung terbesar di dunia dengan kapasiti penonton seramai 55,000 orang.

Kontinjen Malaysia yang tampil segak dengan pakaian kebangsaan berarak masuk sebagai kontinjen kelima selepas Brunei, Kemboja, Indonesia dan Laos diikuti Myanmar, Filipina, Thailand, Timor Leste, Vietnam sebelum diakhir tuan rumah, Singapura.

Mengetuai kontinjen ialah pembawa bendera, Leong Mun Yee yang merupakan ratu terjun negara dan ketua kontinjen, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Kemuncak kepada acara pembukaan semalam ialah pengumuman perasmian oleh Presiden Singapura, Dr. Tony Tam Keng Yam diikuti upacara menaikkan bendera Persekutuan Sukan SEA (SGF) dan penyalaan obor sebagai tanda bermulanya temasya tersebut secara rasmi.

Sebanyak 7,000 atlet dan pegawai daripada 11 buah negara Asia Tenggara mengambil bahagian pada edisi ke-28 ini yang akan beradu tenaga dalam 36 acara serta menawarkan 402 pingat emas.

Malaysia yang membariskan 677 atlet termasuk 385 lelaki dan 292 wanita pada temasya kali ini telah berjaya meraih satu pingat emas, tiga perak dan dua gangsa sebelum edisi ke-28 itu bermula secara rasmi.

Pingat emas tunggal Malaysia setakat ini diperoleh menerusi Katrina Ann Hadi dan Lee Yhing Huey dalam acara renang berirama (duet) kelmarin.

Sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment