Saturday, June 6, 2015

Misi emas skuad hoki

Skuad hoki lelaki negara sudah bersedia untuk menggegar dan mempertahankan pingat emas menjelang perlawanan pembukaan menentang Thailand di Stadium Hoki Sengkang petang ini.

Menurut pengurus pasukan Mirnawan Nawawi, berdasarkan latihan dan juga persiapan sejak dari awal tahun, beliau yakin anak buahnya sudah bersedia bagi mempertahankan emas diraih di Myanmar dua tahun lalu.

“Persiapan kami berada pada tahap terbaik,” kata bekas pemain negara itu semalam.

Jelasnya, anak buahnya sudah lima kali menentang Singapura pada awal bulan lalu yang memberikan mereka peluang bermain dan merasai padang sebenar kejohanan.


“Selain itu bermain dua perlawanan dengan skuad senior Malaysia juga memberikan latihan berguna sebagai persiapan.

“Dari segi mental, semua pemain saya sudah bersiap sedia dengan adanya kem latihan pusat kontinjen dan mereka sering berhubung dengan pakar dari ISN (Institut Sukan Negara),” katanya.

Mirnawan berkata, pemainnya sudah mengetahui matlamat dan misi pasukan membawa pulang emas.

Bagaimanapun, dalam masa sama pihak pengurusan pasukan juga harus pastikan pemain sentiasa fokus, mengekalkan semangat juang tinggi dan tidak terlalu yakin.

“Jika ini dapat dilakukan saya percaya, kita boleh membawa pulang emas diidamkan,” katanya.

Selain skuad hoki lelaki, pasukan wanita juga akan memulakan saingan berdepan tuan rumah di stadium sama selepas itu.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment