Wednesday, June 10, 2015

Thor, Moh tak beri muka

Singapura: Tanpa belas kasihan, gandingan Thor Chuan Leong dan Moh Keen Hoo (gambar) membelasah pasangan Filipina 3-0 sekali gus menempah tiket ke final acara double snuker.

Bekas pemenang emas perseorangan di Sukan SEA Korat 2007, Keen Hoo melengkapkan kemenangan bergaya Malaysia ke atas Filipina apabila mengumpul lebih 50 mata dalam satu permainan.

Gandingannya bersama raja snuker Asean yang baru dinobatkan kelmarin, Chuan Leong ternyata menjadi dan mereka tidak langsung diberikan tentangan sejak awal.

“Saya menaruh sepenuh keyakinan terhadap kemampuan kami. Tidak kira siapa pun yang bakal kami tentang di final esok (hari ini), kami sudah sedia,” kata Keen Hoo.

Keyakinan sama turut dikongsi Chuan Leong yang percaya emas acara perseorangan kelmarin berjaya mengukuhkan keyakinannya.

“Saya sudah ada satu emas dan ia membuatkan permainan saya bertambah kemas.

“Tambahan pula, Moh banyak membantu dan dia juga bukan calang-calang. Dia berpengalaman luas dalam sukan ini.

“Kami langsung tidak pernah berlatih bersama sebelum Sukan SEA kerana kami tinggal berlainan negeri.”

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment