Wednesday, June 10, 2015

Rafiq serap tekanan



Atlet tenpin boling Muhammad Rafiq Ismail (gambar) berjaya menyerap segala tekanan untuk memastikan pingat emas dalam acara individu lelaki menjadi milik Malaysia semalam selepas mengatasi pencabar dari Thailand Annop Arromsaranon dengan hanya kelebihan tiga mata.

Ia detik cukup mendebarkan buat atlet berusia 18 tahun itu di Pusat Bowling Orchid, Yishun apabila terus diekori rapat oleh lawannya selepas membuat permulaan baik dengan merekod 246, 221, 235 dan 225 pada empat permainan awal namun mencatat 192 dan 189 jatuhan pin selepas itu.

Bagaimanapun jumlah keseluruhan 1,308 jatuhan pin sudah cukup untuknya merangkul emas pertama pada penampilan sulung di temasya dwi tahunan itu.

Arromsaranon pula mengumpul 1,305 jatuhan pin untuk pingat perak manakala peserta tuan rumah Javier Tan gangsa (1,284).


Walaupun ia penampilan pertama Rafiq namun harapan cukup tinggi disandarkan kepadanya untuk membuka langkah kanan bagi kontinjen negara selepas dia memenangi kejuaraan Masters lelaki di Kejohanan Kebangsaan Mac lalu dan Terbuka Thailand (April).

“Ia permulaan baik untuk saya tapi saya sangat gementar menuju ke balingan terakhir sehingga saya gagal membuat balingan baik.

“Jurulatih Holloway (Cheah) menasihatkan saya supaya bertenang dan ia sangat membantu. Saya gagal membuat balingan yang baik pada beberapa balingan terakhir tapi saya masih mampu meraih pingat emas.

“Ini adalah Sukan SEA pertama saya dan berjaya meraih emas pertama. Sekarang saya semakin yakin untuk memenangi pingat lagi untuk Malaysia,” kata Rafiq yang turut akan beraksi dalam acara double bersama Ahmad Muaz Fishol hari ini.

Sementara itu harapan negara untuk menambah kilauan emas dalam acara wanita tidak kesampaian apabila Esther Cheah sekadar meraih gangsa meskipun menduduki tangga keempat dengan 1,291 jatuhan pin.

Acara itu didominasi sepenuhnya tiga atlet Singapura namun Cherie Tan yang menduduki tangga ketiga dengan pungutan 1,294 jatuhan pin terpaksa menyerahkan pingatnya kepada Esther atas peraturan diplomatik temasya sukan itu.

Emas dirangkul Daphne Tan dengan 1,368 jatuhan pin dan Jazreel Tan perak (1,313).

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment