Wednesday, June 10, 2015

Lepas geram

Ia seakan aksi balas dendam buat atlet gimnastik artistik wanita negara Tan Ing Yueh apabila memenangi pingat emas acara palang bertingkat di Kompleks Sukan Bishan semalam.

Selepas sekadar menduduki tangga ketujuh dalam acara individu all-around kelmarin termasuk terjatuh ketika menyempurnakan aparatus palang bertingkat, atlet berusia 19 tahun itu bangkit dengan aksi lebih bertenaga mengumpul 12.766 mata.

Ing Yueh mencipta kejutan mengetepikan saingan terdekat dari Filipina Ava Lorein Verdeflor yang meraih 12.366 mata serta seorang lagi atlet negara Farah Ann Abd Halim 12.200 mata.

Biarpun berjaya menewaskan peserta lebih senior bagi acara itu, pelajar Sunway College itu tetap menganggap Farah mencetuskan inspirasi kepada kejayaannya.

“Saya terkejut apabila Farah terjatuh sebab dia selalu memberikan aksi terbaik. Kami sepasukan jadi saya cuma mahu berjuang demi Malaysia, siapa yang mendapatkan pingat untuk negara tidak penting.

“Farah bagi saya adalah contoh kepada rakan sepasukan, dia sentiasa bagi tenaga untuk saya buat yang lebih baik,” katanya selepas menerima kalungan emas semalam.

Ia emas kedua negara dalam acara gimnastik artistik selepas merangkul emas dalam acara berpasukan wanita di mana Ing Yueh dan Farah turut beraksi.

Ing Yueh yang tampil pada Sukan SEA pertama sebelum itu terpaksa berpuas hati di tangga kedua dalam acara melombol selepas mengutip 13.466 mata berbanding juara all-around kelmarin dari Vietnam Phan Thi Ha Thanh 13.983 mata.

Farah pula sekali lagi meraih gangsa dengan 13.316 mata.

“Ini kali pertama saya beraksi di Sukan SEA, saya harap dalam masa dua tahun lagi saya akan buat yang lebih baik,” katanya yang bakal beraksi dalam aparatus lantai hari ini.

Tiada pingat berjaya disumbangkan oleh atlet lelaki yang beraksi dalam acara gelung dan kekuda pelana.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment