Wednesday, June 10, 2015

Skuad takraw negara raih perak acara berpasukan

PEMAIN negara, Mohd Hanafiah Dolah (kanan) membuat libasan berdepan Singapura.

Ketiadaan tekong utama Singapura yang masih terlantar di unit rawatan rapi Hospital Tan Tock Seng benar-benar merencatkan impian tuan rumah untuk menghalang Malaysia daripada memenangi perak acara berpasukan sepak takraw.

Muhammad Azreen Sairudin terbabit kemalangan yang mengorbankan adiknya tiga hari lalu dan persiapan Singapura mula kelam-kabut menjelang perlawanan acara berpasukan.

Di Pusat Ekspo Singapura petang semalam, Malaysia mudah mengatasi tuan rumah 2-0 sekali gus memenangi perak untuk acara berpasukan lelaki.

Ia sekali gus membuktikan Malaysia masih lagi kuasa nombor dua sepak takraw Asean dibelakang Thailand yang memenangi emas acara berkenaan.


Indonesia memenangi gangsa selepas tewas di tangan Thailand dalam acara yang dijalankan secara liga satu kumpulan itu.

Pengurus skuad sepak takraw ke Sukan SEA Mohd Zambri Abd Rahman berkata, kejayaan anak buahnya itu didorong semangat tinggi selepas melakar beberapa keputusan membanggakan pada Kejohanan Siri Super Istaf sebelum ini.

“Catatan perak dalam acara berpasukan ini menepati sasaran persatuan. Ia juga lebih baik berbanding keputusan di Myanmar dua tahun lalu apabila kita sekadar menang gangsa.

“Kali ini, pemain lebih bersemangat dan mereka kelihatan ceria sepanjang sesi latihan serta perlawanan.

“Bagi saya, pemain sudah menunaikan tanggungjawab yang kami amanahkan kepada mereka,” katanya.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment