Wednesday, June 10, 2015

Muslifah membara

   MUSLIFAH harap kesan ubat tak jejas aksinya.

Semangat penembak negara Muslifah Zulkifli masih membara untuk meneruskan acara final 50m riffle prone individu hari ini walaupun mata masih belum pasti pulih sepenuhnya selepas insiden malang menimpa dirinya semalam.

Mata kanan terkena percikan minyak senjatanya ketika beraksi dalam acara berpasukan semalam namun dia yang dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Singapura sebaik tamat acara itu dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.

Menurut Muslifah, insiden itu berlaku ketika dia sedang menghabiskan tiga tembakan terakhir yang memberi kesan kepada pungutan mata.

“Sebaik saya melepaskan tembakan secara tiba-tiba minyak terpercik dengan banyak dari senapang saya lalu masuk ke dalam mata kanan. Memang agak pedih mata saya ketika itu dan hanya menggunakan air untuk mencucinya.


“Saya terpaksa meneruskan baki dua lagi tembakan kerana hanya mempunyai masa kurang lagi lima minit. Selepas acara berakhir saya terus dibawa ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Walaupun terpaksa menahan pedih untuk menamatkan acara semalam, Muslifah masih mampu menyumbang 617 mata tertinggi daripada dua lagi rakan sepasukannya Nur Suryani Mohamed Taibi (606.8) dan Nur Ayuni Farhana Abd Halim (614.9).

Dengan keseluruhan 1839.0 mata, Malaysia meraih pingat perak, Thailand dengan 1869.3 mata manakala Singapura gangsa 1829.1 mata.

Muslifah berharap masih boleh beraksi pada final individu pagi ini meskipun bimbang kesan ubat yang diambil menjejaskan penglihatannya.

“Doktor mahu memberikan saya tiga titik ubat mata bagi meredakan kesakitan namun ia menyebabkan mata saya kabur dalam tempoh yang agak lama, jadi saya meminta setitik saja kerana bimbang penglihatan saya lambat pulih.

“Saya berharap masih boleh beraksi esok (hari ini) bagi acara individu kerana saya layak,” katanya.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment