Wednesday, June 10, 2015

Emas buat emak


“Mak.... emas ini untuk mak. Saya sayangkan mak, rindukan mak.

“Lebih enam bulan saya tak makan masakan mak. Saya berusaha dapatkan emas ini untuk mak bangga dengan saya,” kata Nurshazrin Mohamad Latif, 17, selepas dinobatkan juara kategori lader radial perseorangan wanita bawah 19 tahun di Pusat Pelayaran Singapura semalam.

Nurshazrin bersekolah di SMK Kelibang, Langkawi manakala ibunya, Rosni Ab Rahman tinggal di Pekan, Pahang.

Nurshazrin berkata, sepanjang tahun ini, belum pernah sekalipun dia pulang menemui ibunya itu kerana sibuk menjalani latihan ke temasya Sukan SEA Singapura.

“Ini temasya pertama saya dan emas ini besar maknanya. Saya gembira dengan kemenangan ini dan paling utama, pengorbanan selama ini berbaloi.

“Saya tidak sabar pulang ke pangkuan keluarga dan emas ini hadiah paling bermakna buat mak,” katanya.

Nurshazrin berkata, bukan mudah baginya untuk muncul juara apatah pesaing dari Thailand dan Singapura bukanlah calang-calang.

Ini kali pertama Nurshazrin bertanding dalam acara perseorangan kerana sebelum ini dia hanya menyertai acara berpasukan.

“Kemenangan ini membakar semangat saya untuk berusaha lebih gigih bagi mencapai banyak kejayaan pada masa akan datang,” katanya.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment