Wednesday, June 10, 2015

Fauzi kecil-kecil cili padi

Saiz bukan ukuran (size doesn’t matter). Ungkapan dalam bahasa Inggeris itu cukup tepat untuk menggambarkan keadaan atlet pelayaran negara, Muhammad Fauzi Kaman Shah, 13 (gambar).

Dengan ketinggian tidak sampai lima kaki, kelibat Muhammad Fauzi cukup mudah untuk dikenali, tambahan pula kelakuannya yang masih keanak-anakan membuatkan dia disenangi atlet lain.

Muhammad Fauzi sudah menghadiahkan sebutir emas buat kontinjen negara di temasya Sukan SEA Singapura menerusi acara optimist campuran pada hari pertama pertandingan dan dia bakal mengibar cabaran pada aksi individu hari ini.

“Saya sudah terbabit dengan sukan perahu layar sejak berusia lima tahun lagi dan saya pernah memenangi gangsa di Myanmar dua tahun lalu.

“Kali ini, saya mahu menang emas pula dalam acara yang saya sertai. Bagi optimist campuran, kami sudah menang dan tumpuan saya kini terarah pada acara individu pula.

“Begitupun, saya perlu berhati-hati dengan cabaran pelayar Thailand serta Singapura kerana mereka lebih hebat berbanding saya,” kata anak bongsu daripada lapan beradik itu.

Muhammad Fauzi tidak berseorangan di Singapura sebaliknya dia ditemani abang tiri, Ahmad Latif Ali Sabri Khan, 20, yang menyertai skuad laser standard.

Ahmad Latif yang pernah menimba pengalaman beraksi pada Kejohanan Dunia di Turki tujuh tahun lalu berazam membuktikan kebolehannya pada temasya kali ini.

“Saya pernah memenangi perak di Sukan Asia 2010 tetapi saingan di temasya ini tidak boleh dipandang ringan.

“Saya memang mensasarkan untuk memenangi pingat di sini cuma tidak tahu warnanya.

“Azam kami ialah untuk membanggakan keluarga dengan pencapaian kami di Sukan SEA,” katanya.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment