Wednesday, June 10, 2015

Frost tak gentar undian

                  FROST (kiri) percaya keupayaan Wei Feng.

Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen tidak gelisah walaupun kedua-dua pasukan lelaki dan wanita bakal bertemu Indonesia di separuh akhir selepas sesi undian di Stadium Tertutup Singapura.

Menurut bekas pemain perseorangan Denmark itu, ia satu cabaran buat anak buahnya walaupun sedar peluang mereka 50-50 bertemu negara berkenaan untuk mara ke perlawanan akhir.

“Sebenarnya dalam undian berpasukan wanita saya lebih gemar kita bertemu Indonesia berbanding Thailand. Saya rasa dalam Sukan SEA kali ini Thailand lebih kuat berbanding Indonesia,” katanya ketika ditemui selepas majlis undian semalam.

Jelasnya, untuk undian berpasukan lelaki mereka mahu menentang Thailand di separuh akhir tetapi diundi menentang Indonesia yang mempunyai rangkaian pemain hebat walaupun masih kurang pengalaman.

“Sebenarnya jika kita berazam untuk menjadi juara, kita harus menumpaskan semua pasukan di sini,” katanya yang mengakui pemain Indonesia membuktikan kehebatan di Siri Super Premier Terbuka Indonesia baru-baru ini.

Kata Frost, prestasi pemain Indonesia tidak konsisten di kejohanan lain dan mereka hanya mempamerkan kesungguhan hanya di tempat sendiri.

“Mereka masih muda (pemain Indonesia) saya rasa kita masih mempunyai peluang untuk mengalahkan mereka tetapi dengan syarat semua pemain harus beraksi cemerlang,” katanya.

Dalam majlis undian semalam pasukan lelaki bakal bertemu Kemboja dan wanita pula menentang Vietnam di suku akhir hari ini.

Ujar Frost, beliau akan cuba memberi peluang kepada pemain muda untuk beraksi di suku akhir tetapi bukan mudah buat mereka menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang.

“Kita tahu Stadium Tertutup Singapura ini adalah gelanggang sukar untuk mana-mana pemain menyesuaikan diri dengan cepat, ia berdasarkan aksi Siri Super Terbuka Singapura.

“Bagaimanapun, saya suka melihat semangat mereka namun tidak semua 20 pemain berada dalam keadaan baik. Ada yang mengalami batuk tetapi ia bukan satu masalah serius. Saya juga percaya dengan kemampuan pemain perseorangan, Chong Wei Feng walaupun prestasinya kurang konsisten,” katanya.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment