Saturday, June 13, 2015

Terbaik di Asia Tenggara


SKUAD hoki wanita negara menepati ramalan apabila mudah meraih pingat emas pada Sukan SEA 2015 selepas menewaskan Thailand 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Sengkang semalam

SINGAPURA – Tiada pasukan yang mampu menandingi kehebatan skuad hoki wanita negara di rantau Asia Tenggara.

Semalam, skuad yang diberi jolokan The Blue Tigress itu menepati ramalan apabila mudah membenam cabaran Thailand 3-1 pada aksi final di Stadium Hoki Sengkang, Singapura.

Malah, ia juga merupakan kejayaan hatrik buat skuad bimbingan Mohd. Nasihin Nubli Ibrahim itu selepas menjuarainya pada dua edisi terdahulu, 2007 di Korat, Thailand dan 2013 di Nay Pyi Taw, Myanmar.

Begitupun, ia tidak hadir dengan mudah apabila Nasihin sendiri mengakui dia terpaksa mengubah strategi gara-gara pengadilan yang didakwa berat sebelah dan permainan psikologi pengendali pasukan lawan.

"Kami datang ke sini untuk membawa pulang pingat emas namun kami tetap bersabar dengan gaya pengadilan yang agak berat sebelah.

"Situasi ini sebenarnya menjejaskan rentak kami. Selain itu, faktor jurulatih Thailand yang menjerit-jerit dari tepi padang menjadikan ia lebih susah, namun para pemain saya kekal tenang dan tidak mempedulikan semua itu.

"Bagi saya, kejayaan ini paling bermakna berbanding dua edisi terdahulu kerana saingan kali ini sengit. Para pemain negara membuktikan bahawa mereka berada dalam kelas tersendiri di rantau Asia Tenggara," kata Nasihin.

Tiga gol skuad hoki wanita semalam dijaringkan oleh Hanis Nadiah Onn pada minit ke-37, Siti Shahida Saad (45) dan Nurul Nabiha Mansur (49) yang mana kesemuanya menerusi jaringan padang.

Gol sagu hati Thailand dihasilkan oleh Wongkeaw Sirikwan melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-51.

Dalam perkembangan lain, skuad hoki lelaki negara dijangka tidak berdepan masalah untuk mengikut jejak skuad wanita apabila turun membuat perhitungan dengan Singapura hari ini.

Sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment