Saturday, June 13, 2015

Lima Pesilat Negara Mara Ke Peringkat Akhir Esok

SINGAPURA, 13 Jun (Bernama) -- Lima pesilat negara mara ke peringkat akhir selepas berjaya menewaskan pencabar masing-masing pada aksi separuh akhir di temasya Sukan SEA ke-28 di Pusat Pameran dan Konvensyen Singapura hari ini.

Lima pesilat negara yang akan beraksi di pentas final esok ialah Muhammad Faizul M. Nasir (acara Putra Kelas B 50-55kg), Muhammad Fahmi Romli (Putra Kelas D 60-65kg), Mohd Al Jufferi Jamari (Putra Kelas E 65-70kg), Muhammad Robial Sobri (Putra Kelas H 80-85kg) dan Siti Rahmah Mohamed Nasir (Putri Kelas D 60-65kg).

Juara bertahan acara Putra Kelas E (65-70kg), Mohd Al Jufferi berharap dapat mencipta hatrik dengan meraih pingat emas esok, selepas memenanginya pada Sukan SEA 2013 di Myanmar dan Sukan SEA 2011 di Indonesia.

"...menjadi sasaran saya sejak awal lagi untuk melakukan hatrik pada edisi kali ini dan saya telah membuat persediaan rapi untuk menghadapi cabaran ini," katanya kepada pemberita.

Pesilat berasal dari Kuantan, Pahang itu mara ke final selepas menyingkirkan pesilat tuan rumah, Sheik Ferdous Sheik Alau'ddin dengan mata 5-0 pada aksi separuh akhir.

Juara dunia 2015 itu akan berdepan Vu Van Hoang dari Vietnam esok.

Mohd Al Jufferi, 23, berkata beliau tidak gentar untuk berdepan Vu kerana telah beberapa kali bertarung dengan pesilat senior Vietnam itu.

"Alhamdulillah, sehingga kini Allah tidak mengunci pergerakan saya dalam melakukan teknik hingga saya berjaya mara ke final dan saya harap terus diberikan kemudahan tersebut," kata pesilat daripada aliran Silat Cekak Harimau itu.

Sumber:BERNAMA

No comments:

Post a Comment