Saturday, June 13, 2015

Acara Kapal Layar Sumbang Dua Emas Kepada Malaysia

SINGAPURA, 13 Jun (Bernama) -- Malaysia meraih dua pingat emas dalam acara kapal layar menerusi kategori Optimist Lelaki (B16) dan Double Wanita 470 pada Sukan SEA ke-28 di Pusat Pelayaran Nasional hari ini.

Muhammad Fauzi, 13, mengumpul 12.00 mata selepas tujuh perlumbaan untuk merangkul kejuaraan kategori Optimist Lelaki (B16).

Sementara, peserta Thailand Suthon Yampinid meraih pingat perak selepas mengutip 16.00 mata, manakala atlet Singapura Daniel Ian Toh memperoleh gangsa dengan 17.00 mata.

"Saya memberi sepenuh tumpuan dan saya memastikan saya tahu di mana atlet Thailand dan Singapura berada.

"Saya memberi perhatian kepada tiupan angin dan ombak. Perlumbaan ini sangat sengit dan pingat emas boleh menjadi milik sesiapa," kata Fauzi.

Sementara itu, gandingan Norashikin Mohamad Sayed dan Nuraisyah Jamil meraih pingat emas dalam acara Double Wanita 470.

Mereka mengumpul 13.00 mata, mengatasi pasangan Thailand Narisara Yu-Sawat-Panida Suksomporn (18.00 mata) dan gandingan Singapura Savannah Kiah-Amanda Ng (26.00), yang masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.

Norashikin dan Nuraisyah yang menjalani latihan di Greece sejak sebulan lepas, kini menaruh harapan untuk beraksi pada Sukan Olimpik tahun depan.

"Saya gembira kerana berjaya merangkul pingat emas pertama pada Sukan SEA kerana pada edisi Sukan SEA di Myanmar dua tahun lepas, saya cuma menang pingat gangsa," kata Norashikin.

Sumber: BERNAMA

No comments:

Post a Comment