Saturday, June 13, 2015

Misi akhiri kemarau

Atlet memanah compound negara semakin hampir menamatkan penantian 10 tahun tanpa emas di Sukan SEA apabila berjaya mara ke akhir dalam lima acara semalam.

Bagaimanapun, jurulatih Adnan Ahmad belum mahu berasa gembira dan mendabik dada dengan pencapaian itu selepas tamat aksi separuh akhir semalam.

Malaysia berjaya menempah slot akhir dalam acara individu lelaki dan wanita, berpasukan lelaki dan wanita dan berpasukan campuran.

“Belum masanya untuk saya bergembira. Saya kena tunggu hari terakhir (esok) apabila memasuki pentas final suasana dan perasaan itu berlainan sedikit,” katanya ketika ditemui di Padang Kriket Kallang semalam.

Kali terakhir acara ini meraih emas pada temasya 2005 di Manila melalui Lang Hong Keong dalam acara individu lelaki dan penca
paian sama dilakukan pasukan lelaki.

“Saya harap semua pemanah dapat bertahan dengan baik daripada segi mental dan fizikal.

“Saya juga berharap agar kemarau 10 tahun itu dapat ditamatkan dan sudah pasti pemain akan melakukan yang terbaik bagi membuktikan compound juga boleh melakukan sesuatu buat negara,” katanya.

Dalam aksi akhir pasukan wanita dijadual berdepan Thailand manakala pasukan lelaki pula menentang Indonesia dan pasukan campuran bertemu Thailand.

Pemanah wanita Fatin Nurfatehah Mat Salleh (gambar) pula berdepan Amaya Amparo Cojuangco dari Filipina dan Zulfadhli Ruslan bertemu Nguyen Yien Cuong dari Vietnam.

Semalam, Fatin Nurfatehah berjaya menumpaskan Rona Siska Sari dari Indonesia 143-137 di separuh akhir, manakala Zulfadhli pula menewaskan rakan senegara, Mohd Juwaidi Mazuki 144-141.

Pasukan lelaki pula mengalahkan tuan rumah, 231-226 dan pasukan wanita juga menang ke atas wakil yang sama 224-213.

Acara berpasukan campuran pula menyaksikan Malaysia menang 153-149 ke atas Indonesia.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment