Saturday, June 13, 2015

Muhammad Rafiq Dahului Blok Pertama Masters


Muhammad Rafiq Ismail

SINGAPURA, 13 Jun (Bernama) -- Pemain elit negara, Muhammad Rafiq Ismail mendahului 16 pemain lain untuk menguasai blok pertama acara Masters di Orchid Bowl, Orchid Country Club di sini hari ini.

Pemenang tiga pingat emas pada temasya kali ini itu melakukan 199, 269, 205, 247, 225, 279, 241 dan 231 untuk mengumpul 1,956 jatuhan pin.

"Sememangnya impian saya untuk meraih empat pingat emas di sini. Acara Masters adalah perlawanan individu dan saya bertekad mahu beraksi dengan baik," kata pemain berusia 18 tahun itu.

Mengekori dengan perbezaan 128 pin ialah rakan sepasukan, Ahmad Muaz Fishol yang mengumpul 1,828 jatuhan pin, diikuti pemain Thailand Yannaphon Larpapharat dengan 1,791 jatuhan pin.

Sementara tiga lagi pemain negara, Adrian Ang setakat ini di tempat kelima (1,783) diikuti Timmy Tan (1,691) dan Alex Liew (1,684), masing-masing di tempat kelapan dan kesembilan.

Dalam kategori wanita, Syaidatul Afifa Badrul Hamidi muncul pemain terbaik Malaysia selepas lapan permainan dengan mengumpul 1,671 jatuhan pin untuk berada di kedudukan ketujuh.

Pendahulu blok pertama acara Masters wanita ialah Jazreel Tan dari Singapura dengan 1,896 jatuhan pin.

Beliau diikuti Krizziah Tabora dari Filipina dan Tannya Roumimper dari Indonesia, masing-masing dengan 1,744 dan 1,740 jatuhan pin.

Kesemua mereka perlu bermain lapan permainan lagi untuk berada di kedudukan tiga teratas, untuk melayakkan diri ke pusingan stepladder esok.

Sumber: BERNAMA

No comments:

Post a Comment