Saturday, June 13, 2015

Impian Jen Tzan berkecai

Impian atlet lempar cakera wanita negara, Yap Jen Tzan untuk sekurang-kurangnya mencatat rekod baru kebangsaan tidak kesampaian, namun dia berjaya meraih perak pada hari terakhir acara olahraga di Stadium Nasional Kallang semalam.

Jika berjaya mencatat rekod kebangsaan ia akan dijadikan sebagai hadiah kepada jurulatihnya, Frank Petrovic yang menyambut hari jadi semalam.

Jen Tzan sekadar melakukan catatan 46.95 meter, manakala emas dimenangi atlet Thailand, Insaeng Subenrat yang mencipta rekod baharu Sukan SEA 59.56m selepas memadam rekod lamanya sendiri, 56.77m manakala gangsa menjadi milik Hannah Lee dari Singapura (45.72m).

Pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 47.29m itu sering dibelenggu masalah kecederaan serius dan tidak beraksi pada Sukan SEA Myanmar dua tahun lalu.

“Saya banyak kali cedera dan dua kali pernah melakukan pembedahan. Saya dan jurulatih (Petrovic) menempuh banyak dugaan dalam pelbagai situasi,” katanya selepas menamatkan aksi semalam.

Jelasnya, dia pernah berhenti beraksi selama setahun (2013) selepas tidak terpilih mewakili Malaysia.

“Jadi, kejayaan ini cukup bermakna buat saya walapun gagal memperbaharui rekod kebangsaan memandangkan ia adalah pingat pertama saya.

“Walaupun misi saya tidak berjaya, saya tetap berpuas hati dengan kejayaan ini. Pingat perak ini buat dia (Petrovic),” katanya.

Sementara itu, dalam acara 400m wanita, Shereen Samson Vallaboy sekadar meraih gangsa dengan catatan masa 54.26s emas dan perak dimenangi pelari Vietnam, Nguyen Thi Huyen (52.00) dan Quach Thi Lam (52.52s).

Bagaimanapun, anak kepada jaguh 400m wanita, Josephine Mary dan jagoan 800m, Samson Vallaboy itu tetap gembira dengan prestasinya dalam aksi sulung di temasya dwi tahunan ini.

Dalam acara 4X100m, kuartet wanita negara, Siti Fatimah Mohamad, Zaidatul Husniah Zulkifli, S Komalam Shally dan Noor Amira Mohamad Nafiah meraih gangsa dengan catatan 45.41s, manakala emas dimenangi Thailand (44.27s) dan Vietnam merangkul gangsa (44.77s).

Acara 4X100m lelaki pula yang menampilkan kuartet Johnathan Nyepa, Mohd Izzudin Yahaya, Harith Ammar Mohd Sobri dan Nixson Kennedy berjaya memecah rekod kebangsaan berusia 14 tahun apabila mencatat masa 39.67s pada aksi final untuk kedudukan keempat.

Rekod sebelum ini 39.83s dicipta Watson Nyambek, Nazmizan Muhammad, Azmi Ibrahim serta R Ganeshwaran pada Sukan SEA Kuala Lumpu 2001.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment