Saturday, June 13, 2015

Rancak tuai emas

Pusat Bowling Orchid di Yishun terus menjadi lubuk emas buat skuad tenpin bowling negara apabila menyapu bersih pingat emas acara berpasukan lelaki dan wanita Sukan SEA semalam.

Selepas meraih emas dalam acara individu lelaki, double wanita dan trio lelaki, skuad negara terus ghairah menuai emas bagi menyamai pencapaian lima emas di Palembang 2011.

Malaysia yang membariskan pemenang dua pingat emas Muhd Rafiq Ismail, Adrian Ang, Alex Liew, Timmy Tan dan Ahmad Muaz Fishol nyata sukar digugat dalam saingan dua blok itu apabila mendahului dari awal sebelum menamatkan dengan catatan 6238 jatuhan pin.

Mereka meninggalkan pasukan Indonesia dengan kelebihan 172 jatuhan pin manakala Thailand hanya mengumpul 5852 jatuhan pin keseluruhan untuk gangsa.

Ketika skuad lelaki ‘bersantai’ menamatkan permainan keenam blok kedua, skuad wanita negara dibarisi Shalin Zulkifli, Natasha Roslan, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Esther Cheah dan Sin Li Jane pula berdepan detik mencemaskan sebelum meraih kemenangan.

Walaupun diberi tentangan pasukan Singapura sehingga ke permainan terakhir, mereka berjaya melenyapkan sorakan penyokong tuan rumah dengan catatan 6067 jatuhan pin.

Pasukan tuan rumah ketinggalan 55 pin apabila mengumpul 6012 keseluruhan manakala ketinggalan jauh di belakang, Filipina dengan 5776 jatuhan pin.

Bagi Shalin, 37, yang tampil pada Sukan SEA ke-7 dan turut berada dalam pasukan ketika Malaysia kali terakhir memenangi emas berpasukan wanita di Sukan SEA Korat 2007 cukup gembira dengan semangat juang rakan sepasukan.

“Kami sangat gembira, anda boleh lihat bagaimana kami perlu berdepan sorakan penyokong tuan rumah.

“Kejayaan ini sangat penting kerana Khairy Jamauddin (Menteri Belia dan Sukan) mahu kami memenangi emas untuk dipertimbangkan dalam Program Podium jadi kami berjaya mencapai misi kami.

“Pingat emas ini juga membuktikan kami serius untuk memenangi emas di sini,” katanya.

Malaysia masih berpeluang menambah koleksi emas dalam acara masters lelaki dan wanita bermula hari ini.

Pencapaian terbaik skuad negara di temasya sukan dwi tahunan ini adalah memenangi tujuh emas di Sukan SEA Brunei 1999 dan Kuala Lumpur 2001.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment