Saturday, June 13, 2015

Malaysia Mampu Capai Sasaran 50 Pingat Emas - Ketua Kontinjen

SINGAPURA, 13 Jun (Bernama) -- Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2015 Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yakin sasaran 50 pingat emas yang diletakkan kepada barisan atlet muda negara mampu dicapai pada edisi ke-28 temasya sukan dwitahunan itu yang akan melabuh tirai secara rasmi, Selasa ini.

Beliau berkata walaupun Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin hanya meletakkan sasaran 56 peratus daripada jumlah pingat keseluruhan, beliau yakin atlet yang dihantar bertanding kali ini mampu mengatasi sasaran tersebut.

Setakat ini, Malaysia sudah meraih 45 pingat emas dan ia berjaya mengatasi kutipan 43 emas yang diperoleh pada edisi 2013 di Myanmar.

"Saya yakin, dengan prestasi cemerlang yang ditunjukkan atlet negara ketika ini dan dengan baki tiga hari lagi sebelum (upacara) penutupan rasmi, sasaran 50 pingat emas itu mampu dicapai," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

"Saya sentiasa percaya dengan setiap atlet yang kita hantar. Kita dapat lihat semangat mereka (atlet) begitu berkobar-kobar ketika saya mula mengadakan perjumpaan pada kem (fasa) akhir sebelum ke Sukan SEA," kata Mohamad Norza.

Beliau yang juga Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), bagaimanapun terkilan dengan kegagalan beberapa sukan yang mempamerkan aksi mengecewakan walaupun mempunyai potensi meraih pingat.

Justeru itu, beliau berkata satu kajian mendalam perlu dilakukan bagi mencari punca kemerosotan acara sukan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata kualiti pingat yang dicapai oleh atlet negara dalam beberapa acara sukan seperti memanah dan gimnastik artistik pada kali ini, bertambah baik.

"Dari segi kualiti pingat, kita amat berpuas hati cuma dari segi jumlah keseluruhan, mungkin kita boleh mencapai lebih lagi daripada apa yang disasarkan.

"Kita akan memberi pendedahan kepada lebih ramai atlet muda pada Sukan SEA akan datang," kata Ahmad Shapawi.

Sumber: BERNAMA

No comments:

Post a Comment