Saturday, June 13, 2015

Badminton sambar perak


SKUAD badminton wanita negara meraih pingat perak acara berpasukan semalam selepas tewas kepada Thailand pada perlawanan akhir.

SINGAPURA – Skuad badminton wanita negara gagal mengulangi pencapaian meraih pingat emas di Sukan SEA Laos apabila tewas kepada Thailand 3-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura, semalam.

Turun dengan beberapa perubahan taktikal berbanding ketika menewaskan Indonesia semalam, Lim Yin Fun disenaraikan sebagai perseorangan pertama tewas mudah dengan straight set kepada Ratchanok Intanon 21-13, 21-14.

Aksi kedua menyaksikan Amelia Alicia Anscelly dan Soong Fie Choo menggalas tugas berat untuk menyamakan kedudukan apabila turun menentang pasangan Putita Supajirakul dan Sapsiree Taerattanachai.

Set pertama menyaksikan perlawanan yang cukup sengit apabila kedua-dua pasangan ini terpaksa beraksi sehingga ke mata deuce, namun ternyata pasangan Thailand berjaya mencuri kesempatan untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan 22-20 sebelum mengesahkan kemenangan mereka pada set kedua 21-18.

Ho Yee Mei yang turun sebagai perseorangan kedua negara kelmarin ketika menewaskan Indonesia semalam sekali lagi memikul tugas tersebut untuk mencari mata penting menentang Bussanan Ombumrungpan tetapi dia gagal untuk menyaingi aksi pantas pemain Thailand itu dan kerap melakukan kesilapan untuk tunduk 21-8 dan 21-15.

Sementara itu, Amelia Alicia yang ditemui nyata terkejut dengan kekalahan tersebut tetapi mengakui bahawa dia dan Fie Choo gagal mempamerkan aksi sebenar selain kegopohan menjadi punca utama mereka tewas pada aksi kedua yang dianggap cukup penting untuk mengembalikan semangat selepas tewas dalam perseorangan pertama.

"Saya tak tahu apa yang berlaku. Mungkin saya terlalu ghairah untuk menamatkan perlawanan dengan cepat. Saya tak tahu nak cakap apa lagi," katanya.

Jurulatih skuad wanita negara, Chin Eei Hui bagaimanapun berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan oleh para pemainnya yang sudah memberikan yang terbaik.

"Kita menurunkan ramai pemain muda kali ini untuk memberikan pendedahan kepada mereka. Biarpun kita terlepas pingat emas tetapi apa yang lebih bernilai adalah pengalaman yang mereka peroleh.

"Skuad ini masih muda dan saya meletakkan harapan untuk mereka beraksi cemerlang pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur tetapi kita perlu ingat bahawa Thailand juga semakin kuat, perseorangan mereka cukup baik. Ia bukan tugas mudah untuk kita," ujarnya.

Sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment