Saturday, June 13, 2015

Muhammad Ikram Dedikasi Kemenangan Pingat Emas Kepada Ibu Bapa

SINGAPURA, 13 Jun (Bernama) -- "Saya dedikasikan kemenangan ini untuk ibu bapa yang banyak menyokong saya dan tidak lupa kepada kawan-kawan yang memberi sokongan moral kepada saya", demikian luahan pemanah elit negara, Muhammad Ikram Joni.

Muhammad Ikram berjaya membantu Malaysia mempertahankan pingat emas dalam acara recurve berpasukan lelaki pada penampilan sulungnya di Sukan SEA 2015.

Beliau yang bergandingan bersama Khairul Anuar Mohamad dan Haziq Kamaruddin, bagaimanapun diberikan tentangan sengit oleh trio Indonesia yang diwakili Hendra Purnama, Riau Ega Agata Salsabila dan Muhammad Hanif Wijaya sebelum mencatat kemenangan tipis 5-4 pada aksi final acara berkenaan yang berlangsung di Pusat Kriket Kallang, hari ini.

Untuk rekod, Malaysia berjaya memenangi pingat emas acara berkenaan pada edisi 2013 di Myanmar menerusi trio yang dibarisi Khairul Anuar, Haziq dan Atiq Bazil Bakri.

Muhammad Ikram yang juga anak jati Tanah Merah, Kelantan turut menyifatkan kejayaan itu amat bermakna untuk dirinya setelah gagal dalam memburu pingat bagi acara recurve individu sebelum ini.

Beliau sekadar di tangga ketujuh daripada 28 pemanah pada pusingan kelayakan.

Muhammad Ikram yang mula mewakili negara sejak 2013 turut meletakkan sasaran untuk melakar keputusan positif pada penampilan sulung di Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Gwangju, Korea Selatan, Julai ini.

Pelajar pra-universiti di Sekolah Sukan Bukit Jalil itu pernah membuat penampilan sulung pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan namun tersingkir di pusingan kelayakan.

Dalam pada itu, skuad memanah negara meraih satu perak menerusi Haziq dalam acara recurve individu lelaki, selain dua gangsa oleh trio wanita negara iaitu Farah Amalina Azhar, Loke Shin Hui dan Nur Afisa Abdul Halil (berpasukan) serta Khairul Anuar Mohamad dan Shin Hui dalam acara campuran.

Haziq gagal menandingi panahan cemerlang pemenang pingat gangsa 2013, Witthaya Thamwong dari Thailand dan kalah 2-6 pada aksi final, manakala peserta tuan rumah, Tan Si Lie meraih gangsa setelah mengalahkan seorang lagi pemanah Thailand, Natthapoom Phusawat menerusi kemenangan 6-0.

Trio wanita negara pula mengalahkan gandingan tuan rumah iaitu Chan Jing Ru, Quah Kai Zhi dan Dillian Teo Zhi Ning menerusi kemenangan 5-3 pada penentuan pingat gangsa.

Sumber: BERNAMA

No comments:

Post a Comment