Saturday, June 13, 2015

Boling terus ke puncak


SHALIN (kiri) menerima sorakan tahniah selepas berjaya melakukan strike bagi membolehkan mereka meraih emas acara berpasukan wanita semalam.

SINGAPURA – Skuad boling wanita negara berjaya mempamerkan aksi memukau apabila turut menempa kejayaan meraih pingat emas seperti yang dilakukan oleh skuad boling lelaki dalam acara berpasukan yang berlangsung di Orchid Country Club semalam.

Skuad yang diketuai ratu boling negara, Shalin Zulkifli, Natasha Roslan, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Esther Cheah dan Sin Li Jane berjaya merekodkan 6,067 jatuhan pin untuk dinobatkan sebagai pemenang acara tersebut.

Bagaimanapun, mereka diberi saingan sengit oleh pasukan Singapura yang menerima sokongan hampir 300 penyokong pada pusingan terakhir, namun perbezaan 55 pin meletakkan pasukan tuan rumah sekadar berpuas hati dengan pingat perak sementara gangsa dimenangi Filipina dengan 5,777 mata.

Dalam acara tersebut, Natasha menjadi pemain negara paling cemerlang apabila menjatuhkan 1,247 pin keseluruhan.

Shalin yang ditemui selepas acara tersebut memberitahu, mereka sepakat mensasarkan untuk meraih emas bagi acara tersebut untuk memastikan mereka layak disenaraikan dalam program Podium.

"Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ada beritahu bahawa kami perlu menang pingat emas jika mahu menyertai program Podium dan kami mahu terus bersama ke program tersebut sebab itu kami beraksi sebaik mungkin untuk acara kali ini.

"Memang aksi hari ini (semalam) cukup getir kerana tuan rumah mendapat sokongan penonton sendiri tetapi kami berjaya menguatkan mental seterusnya menang acara ini," kata Shalin.

Kejayaan tersebut turut menyaksikan kesemua pemain di dalam pasukan tersebut kecuali Natasha layak beraksi dalam acara Masters yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment