Saturday, June 13, 2015

Muhd Addeen Idrakie Intai Kedudukan Kelompok 100 Pemain Terbaik Dunia

SINGAPURA, 13 Jun (Bernama) -- Pemain muda skuasy lelaki negara, Muhd Addeen Idrakie Bahtiar, 21, menyasarkan untuk menduduki kelompok 100 pemain terbaik dunia menjelang akhir tahun ini.

Beliau yang kini berada pada ranking ke-126 dunia yakin sasaran berkenaan mampu dicapai sekiranya mencatat keputusan positif dalam beberapa kejohanan skuasy antarabangsa termasuk Kejohanan Skuasy Terbuka New Zealand yang berlangsung dari 16-21 Jun ini.

"Saya berharap mampu mara sekurang-kurangnya ke peringkat suku akhir Kejohanan Skuasy Terbuka New Zealand dalam memburu kedudukan kelompok 100 pemain terbaik dunia," katanya.

Muhd Addeen Idrakie berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas membantu Malaysia muncul juara acara berpasukan lelaki pada Sukan SEA 2015 menerusi kemenangan 2-0 ke atas Singapura pada aksi final, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengakui sedikit kecewa kerana sekadar meraih satu pingat emas dan satu perak walaupun secara peribadi menyasarkan untuk meraih dua emas pada penampilan sulung pada temasya sukan dwitahunan itu.

"Saya ingin dedikasikan dua pingat yang diraih ini kepada keluarga terutamanya ayah (Bahtiar Talib) yang banyak menyokong saya selama ini," katanya.

Penuntut Universiti Malaya itu turut mendedahkan beliau masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan kaki yang dialaminya akibat kemalangan motosikal pada Mac lepas ketika dalam perjalanan pulang ke asrama Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil.

Sumber: BERNAMA

No comments:

Post a Comment