Saturday, June 13, 2015

Skuad Hoki Lelaki Negara Pertahan Pingat Emas Dengan Kemenangan Tipis

SINGAPURA, 13 Jun (Bernama) -- Rekod skuad hoki lelaki negara mungkin tercalar kalau tidak kerana mencatat kemenangan tipis 4-3 menentang Singapura dalam penentuan pukulan penalti shoot-out untuk mempertahankan pingat emas kali ketiga berturut-turut di Sukan SEA ke-28 Singapura malam ini.

Skuad negara terikat seri 2-2 dengan sehingga tamat perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Sengkang di sini.

Pasukan negara terlebih dahulu meraih gol pertama menerusi pukulan sudut penalti yang dilakukan oleh Aminudin Mohd Zain pada minit ke-14.

Namun pasukan pertahanan lawan lebih agresif menyukarkan peluang skuad untuk menambah jaringan pada separuh masa pertama.

Bersambung pada babak kedua perlawanan, Azwar Abdul Rahman menambah tekanan pasukan lawan selepas menyempurnakan jaringan gol pukulan sudut penalti pada minit ke-45.

Singapura bagaimanapun tidak berputus asa apabila pemain mereka Abdul Hafiz cemerlang menjaringkan gol padang pada minit ke-51 sekaligus menaikkan semangat pasukan itu untuk menyamakan kedudukan dengan jaringan padang kedua pada minit ke-69 oleh ketua pasukan Enrico Marican.

Pingat gangsa menjadi milik pasukan Myanmar yang mengalahkan Thailand 5-1 dalam satu lagi perlawanan penentuan pingat.

Presiden Persekutuan Hoki Asia, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyampaikan pingat kepada pasukan negara malam ini.

Untuk rekod, Malaysia meraih gelaran juara sebanyak 15 kali sejak dipertandingkan pada 1971 di Sukan SEA.

Namun pujian perlu diberikan kepada pemain junior skuad bimbingan Arul Selvaraj yang kesemuanya pertama kali bersaing pada temasya dwitahunan itu.

Arul berkata beliau tidak menjangkakan perlawanan final yang sengit namun beliau memuji pemain-pemainnya yang bijak mengawal emosi walaupun ditekan dengan sorakan penyokong tuan rumah.

"Saya tidak sangka perlawanan sampai ke tahap seperti malam ini...tetapi saya berasa sangat lega sebab pasukan kita masih mempertahankan pingat emas.

"Kita mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol, salah satunya jaringan masuk, tetapi umpire tidak memberikan gol kepada pasukan," katanya.

Sumber: BERNAMA

No comments:

Post a Comment