Saturday, June 13, 2015

Harrif rampas semula emas kriterium


HARRIF meraikan kejayaannya selepas muncul juara acara kriterium lelaki pada Sukan SEA 2015 di Singapura semalam.

SINGAPURA – Pelumba negara, Mohd. Harrif Saleh masih mampu memberikan kayuhan terbaik untuk meraih pingat emas acara kriterium lebuh raya lelaki Sukan SEA 2015 walaupun mengalami keracunan makanan, Rabu lalu.

Lebih manis, ia juga merupakan emas kriterium pertama buat Malaysia selepas kemarau selama 10 tahun yang kali terakhir berjaya dimenangi oleh Suhardi Hassan pada Sukan SEA 2005 di Manila, Filipina.

Harrif, 27, mengakui badannya kurang bertenaga gara-gara kekurangan air dalam badan selepas muntah sebanyak dua kali sebelum perlumbaan di Marina Bay semalam.

Bagaimanapun, demi Malaysia serta strategi mantap rakan sepasukan, menyaksikan pelumba kelahiran Terengganu itu berjaya melakukan henjutan emas kira-kira 200 meter (m) daripada garisan penamat.

"Walaupun saya muntah-muntah selepas sarapan pagi tadi (semalam) dan rasa loya sedikit, tetapi saya tak rasa apa-apa sewaktu berlumba kerana semangat untuk menang semakin memuncak.

"Saya sudah boleh baca perlumbaan ini, sebab itu saya yakin boleh menang hari ini (semalam). Pelumba dari negara-negara lain memang susah nak pintas kami.

"Saya tidak akan menang tanpa kerjasama rakan-rakan sepasukan. Kami sudah seperti adik-beradik, semua tahu memainkan peranan masing-masing," katanya selepas tamat perlumbaan semalam.

Lima lagi pelumba negara yang turut beraksi dalam acara tersebut semalam ialah Anuar Manan yang menghuni tempat kelima, Mohd. Saiful Anuar Aziz (19), Mohd. Zamri Saleh (36), Muhamad Adiq Husainie Othman (42) dan Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi (44).

Pingat perak menjadi milik Le Van Duan dari Vietnam dan pelumba tuan rumah, Singapura, Vincent Chin Yong Ang memenangi gangsa.

Sementara itu, Harrif yang telah memenangi empat pingat emas termasuk pada edisi ke-28 kali ini menegaskan mereka akan menggunakan percaturan sama dalam acara lepas beramai-ramai esok.

"Tugas selepas ini diberikan kepada orang lain pula kerana susah sedikit nak baca gerak pelumba lebuh raya tetapi kami tetap tumpu untuk naik podium.

"Saya rasa tiada masalah kerana pasukan lain pasti akan mengikut rentak Malaysia. Kami akan cuba mengulangi strategi hari ini (semalam)," jelasnya.

Sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment