Saturday, June 13, 2015

Malaysia Tambah Dua Lagi Pingat Emas Dalam Acara Skuasy

SINGAPURA, 13 Jun (Bernama) -- Malaysia menambah dua lagi pingat emas dalam acara skuasy pada Sukan SEA 2015 selepas skuad lelaki dan wanita menewaskan pencabar masing-masing hari ini.

Pasukan wanita negara menumpaskan Indonesia 2-0, sebelum skuad lelaki meneruskan aksi cemerlang dengan membenam Singapura juga 2-0 dalam aksi final yang berlangsung di Pusat Skuasy Kallang di sini.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia meraih empat pingat emas dalam acara skuasy setakat ini, selepas Sanjay Singh Chal dan Rachel Arnold masing-masing memenangi emas dalam acara individu lelaki dan wanita pada Rabu lepas.

Skuad lelaki Malaysia, bagaimanapun tidak mengambil bahagian dalam acara 'jumbo doubles' yang bermula esok.

Pada aksi hari ini, pemenang pingat perak acara individu wanita, Vanessa Raj meletakkan Malaysia di hadapan apabila menewaskan Yeni S. Rohmah 11-7, 11-8 dan 11-3, sebelum Rachel memastikan pingat emas buat Malaysia dengan kemenangan 11-8, 11-9 dan 11-4 ke atas Yuliana Catur.

Dalam pada itu, pemenang pingat perak acara individu lelaki, Muhd Addeen Idrakie Bahtiar, bagaimanapun tumpas pada set pertama sebelum bangkit untuk menundukkan pemain Singapura Samuel Kang 10-12, 11-8, 11-6 dan 11-9.

Sanjay, kemudian memastikan pingat emas kepada Malaysia pada temasya kali ini apabila menewaskan Vivian Rhamanan 11-4, 11-2 dan 11-2 dalam masa 20 minit.

Ketika ditemui pemberita, Rachel berkata beliau tidak menyangka meraih dua pingat emas pada penampilan sulungnya di temasya sukan itu dan mengucapkan tahniah kepada rakan pasukan kerana bekerja keras untuk memastikan kemenangan dalam acara wanita.

"Ia perasaan yang menakjubkan untuk memenangi dua pingat emas pada penampilan pertama saya di Sukan SEA," kata Rachel.

Vanessa turut berkongsi kegembiraan selepas berjaya merangkul pingat emas pertamanya, setelah tumpas kepada Rachel pada perlawanan akhir acara individu.

Sanjay turut melahirkan rasa gembira untuk meraih pingat emas peribadi keduanya, walaupun menerima tentangan hebat daripada Vivian yang mendapat sokongan padu daripada penyokong tuan rumah.

Untuk rekod, Malaysia tidak pernah gagal memenangi pingat emas dalam acara skuasy pada Sukan SEA sejak acara itu diperkenalkan pada Sukan SEA 1997 di Jakarta, Indonesia.

Sumber: BERNAMA

No comments:

Post a Comment