Saturday, June 13, 2015

Sukan SEA: Pesilat Muhammad Faizul Dapat Kemenangan Percuma Ke Final

SINGAPURA, 13 Jun (Bernama) -- Pesilat negara, Muhammad Faizul M. Nasir yang beraksi dalam acara Putra B (Kategori berat badan 50-56kg) mendapat kemenangan percuma dan seterusnya layak ke final temasya Sukan SEA ke-28 di sini.

Wasit perlawanan membatalkan serangan pesilat Vietnam, Duy Phuong Vo kerana melakukan serangan ke bahagian mata kiri Muhammad Faizul yang menyebabkannya terpaksa diusung keluar dari gelanggang kejohanan yang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Singapura, Sabtu.

Pada aksi final esok, pemenang pingat emas pada edisi ke-19 Kejohanan Pencak Silat Terbuka Belgium 2014 itu dijadual bertemu Nanthachai Khansakon dari Thailand bagi merebut pingat emas bagi acara itu.

Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin berkata beliau berharap Muhammad Faizul tidak mengalami kecederaan serius dan dapat meneruskan aksi esok.

"Kita menghormati keputusan wasit apabila pesilat Vietnam secara jelas melakukan serangan pada mata kiri Muhammad Faizul," katanya kepada Bernama.

Katanya Muhammad Faizul kini dirawat oleh pasukan perubatan kontinjen negara dan akan dirujuk ke hospital pakar berdekatan sekiranya perlu.

"Saya doakan moga beliau tidak mengalami kecederaan serius dan mampu meneruskan pemburuan pingat untuk negara," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment