Saturday, June 13, 2015

Berbasikal: Nurul Suhada Raih Pingat Pertama Peribadi Sukan SEA

SINGAPURA, 13 Jun (Bernama) -- Pelumba basikal negara Nurul Suhada Zainal berjaya mengelak kemalangan untuk melakukan pecutan ke garisan penamat untuk meraih pingat pertama buat dirinya dalam Sukan SEA.

Dalam perlumbaan sejauh 94.9km itu, dilaporkan sebanyak sepuluh peserta terlibat dalam kemalangan kira-kira 200 meter menuju garisan penamat.

Menurut Nurul Suhada, 500 meter sebelum penamat, seorang pelumba Kemboja telah jatuh dan mengambil peluang itu untuk menarik seorang lagi pelumba negara, Ju Pha Som Net ke hadapan bagi membantu Ju Pha melakukan pecutan ke garisan penamat.

"Bagaimanapun, nasib tidak baik ada satu lagi kemalangan pada kira-kira 200 meter menuju penamat dan Ju Pha telah dilanggar dan dia tidak boleh terus kayuh sebab masalah dengan gear.

"Saya dapat mengelak kemalangan itu dan nampak ada peluang untuk melakukan henjutan. Syukur akhirnya saya dapat menang juga pingat di Sukan SEA," kata pelumba berusia 21 tahun dari Banting, Selangor.

Beliau menamatkan kayuhan dengan masa dua jam, 49 minit dan 43 saat untuk pingat gangsa.

Jutatip Maneephan dari Thailand yang memenangi perlumbaan itu dengan masa 2'49:42s telah diturunkan kedudukan pingatnya selepas pihak komisar mendapati beliau menghalang pelumba Vietnam, Nguyen Thin That ketika menuju garisan penamat.

Akibatnya pingat emas acara itu dimenangi Nguyen Thi That dengan catatan masa yang sama.

Jutatip, yang juga pemenang pingat emas acara ujian masa individu itu, turut dikenakan denda berjumlah 100 Swiss Franc (kira-kira RM403.90) akibat kesalahan itu

Sementara itu Ju Pha ternyata sangat kecewa kerana kerosakan gear dan masalah rantai basikal menghalang beliau untuk cuba memenangi pingat emas.

"Saya memang sasar pingat emas hari ini...sekarang ini memang kecewa sangat bila gear jatuh dan tidak boleh buat apa-apa langsung," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment