Saturday, June 13, 2015

Hariff tamatkan penantian 10 tahun acara kriterium


Mohd. Hariff Salleh

SINGAPURA – Meskipun kehilangan banyak tenaga kerana baru pulih daripada keracunan makanan, tetap tidak menghalang Mohd. Hariff Salleh daripada menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia menerusi acara berbasikal lebuh raya Sukan SEA dalam tempoh 10 tahun selepas menjuarai saingan kriterium di Marina Bay semalam.

Pelumba kelahiran Kuala Terengganu berusia 27 tahun itu akhirnya menghadirkan emas begitu lama didambakan oleh skuad lebuh raya yang kali terakhir memenanginya menerusi Suhardi Hassan pada Sukan SEA 2005 di Manila.

Semangat juang tinggi yang dipamerkan Hariff nyata mengatasi segala-galanya, dan dalam keadaan badan yang agak lemah dia masih mampu mengetepikan saingan pencabar rapat dari Vietnam, Le Van Duan. Gangsa pula milik pelumba tuan rumah, Vincent Ang.

Demi mengharumkan nama Malaysia, selain dibantu strategi mantap rakan-rakan sepasukan, Hariff melakukan henjutan bertenaga dari 200 meter terakhir sebelum melintasi garisan penamat.

“Semangat saya untuk menang perlumbaan ini cukup membara biarpun badan belum sihat sepenuhnya kerana muntah-muntah sebaik sarapan pagi tadi.

“Memang keyakinan saya untuk menang agak tinggi hari ini, selain dibantu oleh rakan sepasukan yang menyebabkan pelumba lain sukar untuk memintas saya.

“Tanpa kerjasama rakan-rakan, tidak mungkin saya boleh menang. Kami semua seperti adik-beradik serta tahu memainkan peranan tersendiri,” kata Hariff.

Lima lagi pelumba negara yang mengambil bahagian ialah Anuar Manan yang berada di tempat kelima, Mohd. Saiful Anuar Aziz (19), Mohd. Zamri Saleh (36), Muhamad Adiq Husainie Othman (42) dan Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi (44).

Dalam acara kriterium wanita, Jupha Somnet berjaya memastikan pingat gangsa buat pasukan negara dan hanya sedikit ketinggalan di belakang Jutatip Maneepham dari Thailand Thailand yang meraih emas. Nguyen Thi Thut dari Vietnam membawa pulang perak.

Masih belum puas dengan satu emas pada Sukan SEA 2015, Harrif berharap mampu menambah koleksi pingat dalam acara lebuh raya, esok.

Sepanjang penyertaan Sukan SEA, Harrif telah memungut empat emas secara keseluruhan.

“Selepas ini, acara lebuh raya pasti lebih sukar kerana bukan sesuatu yang mudah untuk membaca gerak geri pelumba lebuh raya, namun kami tetap mahukan kedudukan podium,” katanya. 

Sumber – UTUSAN

No comments:

Post a Comment