Saturday, June 13, 2015

Malaysia Tumpu Akuatik, Olahraga Untuk Ungguli Sukan SEA 2017 - Khairy

ARAU, 13 Jun (Bernama) -- Malaysia perlu memberi tumpuan pada acara akuatik dan olahraga untuk mengungguli Sukan SEA 2017 selaku tuan rumah, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata perlu ada strategi untuk mengungguli Sukan SEA 2017 di samping perlu adil pada sukan lain yang menyumbang pada kejayaan kontinjen negara.

Kajian mendalam akan dibuat bagi mengenal pasti acara yang dapat menyumbang pingat terbanyak, katanya.

"Kini, olahraga dan akuatik merupakan cabaran besar kita. Untuk menjadi juara keseluruhan pada 2017 nanti, tumpuan lebih kepada acara ini perlu diberi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai program FitMalaysia peringkat negeri di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis di sini Sabtu yang dilancarkan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.

Khairy berkata sebagai persediaan kementerian telah menghantar atlet pelapis bagi acara akuatik pada Sukan SEA Singapura yang sedang berlangsung dan menurutnya atlet terbaik dalam acara itu akan dihantar menjalani latihan di luar negara.

Berhubung kekalahan pasukan bola sepak negara pada Sukan SEA Singapura, beliau berkata: "Dari segi matematik, kekalahan pasukan bola sepak di Sukan SEA yang riuh satu negara tidak ada kesan kerana ia hanya satu pingat walaupun pingat emas acara bola sepak dianggap ibu segala pingat."

Khairy berkata beliau puas hati dengan pencapaian kontinjen negara di Singapura setakat ini yang disifatkannya berada di landasan betul dengan menduduki tempat keempat.

Mengenai program FitMalaysia Perlis, beliau yang turut menyertai acara kayuhan sejauh 30 kilometer, berpuas hati dengan penglibatan lebih 10,000 orang. Empat disiplin FitMalaysia adalah berlari, berbasikal, aktiviti kecergasan dan seni pertahanan diri.

Khairy berkata FitMalaysia seterusnya akan diadakan di Pulau Pinang selepas Aidilfitri dan kemuncak pada Hari Sukan Negara di ibu negara pada 10 Okt.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment