Saturday, June 13, 2015

Boling ketuai hari cemerlang 13 Jun 2015


SINGAPURA - Kejuaraan berganda dalam boling berpasukan, selain pingat emas pertama berbasikal lebuh raya selepas 10 tahun melengkapkan kecemerlangan Malaysia, yang menokok enam lagi emas pada hari kelapan Sukan SEA 2015 semalam.

Atlet cilik berusia 11 tahun, Aaliyah Yoong Hanifah (ski air), penembak Nur Ayuni Farhana Abdul Halim dan skuad hoki wanita turut menyumbangkan tiga lagi emas kepada kontinjen negara, sekali gus membolehkan Malaysia mengumpul 38 emas, 40 perak dan 50 gangsa kese­luruhan.

Pencapaian konsisten itu membolehkan kontinjen negara kekal di tangga keempat pungutan pingat, yang menyaksikan Thailand me­mintas tuan rumah buat kali pertama selepas mengumpul 71 emas, 68 perak, 54 gangsa. Singapura dengan 70-62-83 menduduki tangga kedua, diikuti Vietnam (62-41-50).

Ketika temasya hanya tinggal empat hari untuk ditamatkan, Malaysia masih perlu mencari 60 pingat tanpa mengira warna untuk memenuhi sasaran 56 peratus pungutan pingat (188) yang ditetapkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Walau apapun yang bakal berlaku pada hari terakhir temasya Selasa depan, pasukan boling negara sudah boleh menarik nafas lega kerana melakar keputusan cemerlang dengan menggondol emas kelima semalam.

Kombinasi Alex Liew, Adrian Ang, Muhammad Rafiq Ismail, Ahmad Muaz Fishol dan Timmy Tan mengungguli saingan berpasukan lelaki selepas mengumpul 6,238 jatuhan pin.

Dalam saingan wanita, Natasha Roslan, Shalin Zulkifli, Esther Cheah, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Sin Li Jane bangkit daripada ketinggalan dalam blok pertama sebelum mengetepikan Singapura dengan kelebihan tipis 55 pin.

Terdahulu, Mohd. Hariff Salleh menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia dalam acara berbasikal lebuh raya selepas 10 tahun dengan menjuarai perlumbaan kriterium, biarpun baru pulih daripada keracunan makanan.

Skuad hoki wanita pula menepati status sebagai gergasi hoki Asia Tenggara apabila merangkul kejuaraan hatrik Sukan SEA dengan menumpaskan Thailand 3-1.

Di Bedok Reservoir, Aaliyah mempertahankan emas yang dimenangi di Indonesia empat tahun lalu apabila menjuarai saingan tricks ski air wanita.

Selepas lapan tahun menunggu, Nur Ayuni Farhana akhirnya me­raih emas pertamanya dalam Sukan SEA dengan menjuarai acara 50 meter rifle tiga posisi, kemenangan yang ditujukan khas kepada ibunya, Khatijah Ismail.

Hari ini Malaysia dijangka menuai lebih banyak emas berban­ding semalam.

Tumpuan utama pastinya dalam acara memanah, di mana Malaysia mempunyai tiga wakil dalam final recurve, manakala skuasy pula dijangka menyapu bersih emas berpasukan lelaki serta wanita.

Pelayaran juga dilihat mampu menghadiahkan emas, di mana Malaysia mendahului tiga daripada empat acara yang disertai manakala skuad hoki lelaki negara dijangka tidak menghadapi masalah untuk menewaskan Singapura di final. 


Sumber – UTUSAN

No comments:

Post a Comment