Saturday, June 13, 2015

Malaysia terlalu unggul (Boling juara berganda berpasukan, raih emas kelima)

pemain negara Shalin Zulkifli menjerit riang kepada rakan sepasukannya
Pemain negara Shalin Zulkifli menjerit riang kepada rakan sepasukannya sewaktu beraksi dalam perlawanan akhir boling berpasukan wanita Sukan SEA 2015 di Singapura semalam. REUTERS
SINGAPURA - Skuad boling negara bukan saja memastikan mereka tidak gagal menghadiahkan pingat emas buat Malaysia sepanjang empat hari pertandingan, malah me­lakukannya dengan penuh bergaya semalam apabila merangkul kejuara­an berganda dalam berpasukan lelaki dan wanita Sukan SEA 2015.

Kejayaan ini mengulangi pencapaian hebat pada Sukan SEA Manila 10 tahun lalu iaitu ketika kali terakhir Malaysia mengungguli acara berpasukan lelaki dan wanita.

Atlet remaja berusia 18 tahun, Muhammad Rafiq Ismail meneruskan kecemerlangannya dengan merangkul emas ketiga peribadi selepas membantu Malaysia menjuarai saingan berpasukan bersama Ahmad Muaz Fishol, Alex Liew, Andrian Ang dan Timmy Tan.

Pasukan negara mendahului saingan sejak blok pertama di se­belah pagi, sebelum melengkapkan blok kedua dengan mengumpul 6,238 jatuhan pin keseluruhan, 172 pin mengatasi pencabar terdekat Indonesia. Pingat gangsa milik Thailand menerusi 5,852 pin.

Sementara itu, pasukan wanita bangkit daripada ketinggalan kepada Singapura dalam blok pertama sebelum mengetepikan tuan rumah menerusi keputusan tipis.

Kombinasi Shalin Zulkifli, Natasha Roslan, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Esther Cheah dan Sin Li Jane mengumpul 6,067 jatuhan pin, hanya 55 pin mengecewakan Singapura yang dianggap pilihan utama untuk mempertahankan kejuaraan.

Pasukan Filipina dengan 5776 jatuhan pin membawa pulang gangsa.

“Kejayaan kali ini sangat meng­agumkan kerana pasukan lelaki dan wanita berjaya merangkul pi­ngat emas berganda.

“Secara peribadi, saya memang mengharapkan emas dalam acara ini kerana saya anggap ini adalah peluang terakhir saya untuk memenangi emas,

“Walaupun saya berjaya melayak­kan diri ke acara Masters, tetapi saya sedar peluang untuk menang agak tipis berbanding dalam berpasukan,” kata kapten Malaysia, Alex.

Boling sudah merangkul lima pingat emas di Singapura setakat ini selepas memulakan kempen dengan muncul juara individu lelaki menerusi Rafiq, diikuti emas dalam beregu wanita (Esther-Li Jane) dan emas trio lelaki (Rafiq, Muaz serta Timmy).

Hari ini, saingan boling dite­ruskan dalam acara Masters lelaki dan wanita, namun tiada emas ditawarkan kerana pemain hanya mengharungi tiga permainan blok pertama.

Sumber – UTUSAN

No comments:

Post a Comment