Saturday, June 13, 2015

Berlatih tiga minggu pasti sukar dapat hasil


SKUAD bola sepak negara melalui pengalaman buruk pada Sukan SEA 2015 selepas tersingkir seawal peringkat kumpulan

SINGAPURA – Tidak ada pasukan yang mampu membawa pulang kejayaan sekiranya hanya membuat persiapan dalam tempoh sebulan.

Mungkin itu rumusan tepat dan paling sesuai untuk menggambarkan kegagalan skuad bola sepak negara pada Sukan SEA kali ini yang menamatkan kempen penuh kekecewaan selepas tersingkir seawal peringkat kumpulan.

Jurulatih skuad negara, Datuk Ong Kim Swee sudah mengakui sejak perlawanan pertama ketika mereka hanya mampu menewaskan Timor Leste 1-0 menjelaskan bahawa pasukannya kali ini tidak begitu bersedia kerana kesemua pemain hanya sempat menjalani latihan pusat selama tiga minggu sahaja.

Menurutnya, tempoh persiapan kali ini sangat berbeza ketika beliau membawa skuad negara memenangi pingat emas di Indonesia pada 2011 dan tempat keempat dua tahun lalu di Myanmar.

"Saya tidak mahu memberi alasan, tetapi lihat bagaimana perancangan kita pada 2011 dan ketika ke Myanmar. Berapa banyak perlawanan antarabangsa yang kita harungi. Kali ini kita main dengan siapa sebelum ke Sukan SEA?

"Sudah pasti kita gagal. Kita kena lihat semula apa yang kita lakukan sebelum ini. Saya akan sediakan laporan mengenai prestasi pasukan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)," katanya.

Tambahnya, pemain yang hadir menggalas misi kali ini juga dilihat tidak begitu bersedia kerana sebahagiannya tidak mempunyai tempoh masa perlawanan yang cukup kerana sebahagian besar daripada mereka hanya memanaskan bangku simpanan dengan pasukan kelab atau negeri masing-masing, selain berdepan masalah kecederaan.

"Jika kita lihat Thailand, hanya seorang dua pemain yang beraksi dalam Liga Divisyen 1 mereka manakala yang lain bermain secara tetap dalam liga utama mereka, sama seperti pemain Vietnam.

"Berbeza dengan pemain kita, sebahagian besar daripada mereka hanyalah pemain simpanan selain berdepan masalah kecederaan kecuali pemain Harimau Muda B yang beraksi dalam Liga Singapura," ujarnya.

Skuad negara hanya berjaya mengumpul sembilan mata hasil tiga kemenangan ketika menewaskan Timor Leste (1-0), Brunei (2-0) dan Laos (3-1), namun tersingkir daripada perebutan slot ke separuh akhir selepas tewas kepada Thailand (0-1) dan Vietnam (1-5).

Empat pasukan yang layak beraksi di separuh akhir nanti adalah Thailand, Vietnam, Indonesia dan Myanmar.

Prestasi yang dipamerkan skuad kebangsaan kali ini benar-benar membuatkan Kim Swee kecewa apabila membayangkan untuk meninggalkan skuad negara biarpun mengakui bahawa sebelum bermulanya misi ke Sukan SEA kali ini beliau turut berhasrat untuk berbuat demikian.

"Daripada awal tahun lagi saya nak keluar tapi tak dibenarkan, apabila saya tidak dibenarkan saya ambil tanggungjawab atas apa yang berlaku di Sukan SEA. Saya tak akan lari, terpulang kepada FAM nak buat keputusan selepas ini," jelasnya.

Sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment