Saturday, June 13, 2015

Aaliyah Yoong Raih Perak Acara Jump Wanita

SINGAPURA, 13 Jun (Bernama) -- Atlet ski air muda Malaysia Aaliyah Hanifah Yoong terus cemerlang apabila meraih pingat perak acara jump wanita pada Sukan SEA ke-28 di Empangan Bedok di sini hari ini.

Atlet berusia 11 tahun itu menampilkan aksi mantap untuk mengumpul 20.20 mata di belakang peserta Indonesia Rossi Amir yang meraih pingat emas selepas mengutip 29.00 mata.

Seorang lagi peserta Indonesia Nor Alimah Prambodo yang mengumpul 18.10 mata meraih pingat gangsa.

Ketika ditemui pemberita, Aaliyah berkata beliau berpuas hati dapat menyumbangkan pingat perak kepada kontinjen negara.

"Saya gembira kerana mencatat keputusan peribadi terbaik saya dalam acara ini dan ia kali pertama saya menyertai acara jump. Prestasi saya semakin baik dalam acara ini.

"Pencapaian terbaik saya sebelum ini ialah 11.20 mata," kata Aaliyah yang meraih pingat emas acara trick wanita, semalam.

Sementara itu, abang tirinya, Alex Yoong meraih pingat gangsa dalam acara jump lelaki selepas mengumpul 33.10 mata.

Peserta Indonesia menguasai acara tersebut menerusi Ade Hermana yang memenangi pingat emas setelah mengutip 46.90 mata, mengenepikan cabaran rakan sepasukan Febrianto yang meraih perak selepas mengumpul 33.90 mata.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment