Saturday, June 13, 2015

Skuad Sepak Takraw Tamat Kemarau 10 Tahun Raih Emas Acara Regu Lelaki

SINGAPURA, 13 Jun (Bernama) -- Pasukan sepak takraw berjaya menamatkan kemarau 10 tahun negara meraih pingat emas acara regu lelaki setelah menewaskan Laos 2-0 pada pusingan liga Sukan SEA ke-28 di Pusat Pameran dan Konvensyen Singapura hari ini.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas acara tersebut adalah pada Sukan SEA 2005 di Filipina.

Pada set pertama, trio negara yang diperkuatkan Farhan Adam (kapten)/Mohd Hanafiah Dolah/Mohammad Syahir Mohd Rosdi mencipta kemenangan mudah 21-10 ke atas regu Laos yang dibarisi Sengsouvanh Lamphoun (kapten)/Phouthavong Souktula/Nanthisen Kantana.

Pertukaran tekong dengan memasukkan Ahmad Aziat Mohd Nor Azmi pada lewat set kedua juga banyak membantu skuad bimbingan Abdul Talib Ahmad itu untuk mencatat kemenangan 21-16 ke atas regu Laos itu.

Ketika ditemui pemberita, Farhan menyifatkan kejayaan meraih pingat emas itu adalah hasil persiapan rapi yang dilakukan mereka dan bukannya kemenangan 'percuma' berikutan Thailand tidak menghantar wakil dalam acara itu.

"Jika Thailand menghantar pasukan dalam acara regu pun, kami akan berjuang habis-habisan merebut pingat emas hari ini dan tidak akan mengaku kalah.

"Pasukan Laos juga mempunyai kelebihan tersendiri dan memberi saingan hari ini dan bukannya memberi kemenangan mudah kepada kita," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Datuk Ahmad Ismail yang hadir menyaksikan perlawanan itu, bangga dengan semangat juang tinggi yang ditampilkan pemain negara.

"Kenapa kita perlu mempersoal pingat emas yang dimenangi pemain lelaki negara hanya disebabkan Thailand tidak mengambil bahagian dalam acara itu," katanya.

Ahmad berkata peminat sepak takraw tanah air sepatutnya berbangga dan tidak memperlekehkan kejayaan bersejarah itu kerana Malaysia akhirnya berjaya memenangi pingat emas.

Beliau berkata Thailand mungkin mempunyai sebab tertentu tidak menghantar wakil dalam acara regu kali ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment