Saturday, June 13, 2015

Shereen permata dalam pembikinan


SHEREEN sudah mula mengorak langkah untuk mencipta nama dalam acara jarak sederhana.

SINGAPURA – Anak kepada bekas jaguh acara 400 meter (m) Malaysia, Samson Vallabouy dan pemegang rekod 800m wanita negara, Josephine Mary Singarayar iaitu Shereen melakar kejutan pada hari terakhir acara olahraga Sukan SEA 2015 semalam.

Shereen, 17, berjaya me­raih pingat gangsa dalam acara 400m wanita dengan catatan masa 54.26 saat (s), sekali gus memperbaharui catatan peribadi terbaik iaitu 54.96s.

"Pertama sekali saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutamanya ibu dan ayah serta barisan kejurulatihan yang sentiasa memberikan semangat kepada saya.

"Pada temasya pertama saya ini, saya hanya mensasarkan untuk memperbaiki catatan peribadi terbaik tetapi tak sangka ia menghadiahkan saya pingat gangsa.

"Saya mahu mengikut gaya ayah dan ibu dalam larian saya. Saya amat berbangga dengan kejayaan ini," katanya ketika ditemui di Stadium Nasional Singapura semalam.

Shereen juga berharap agar kejayaan tersebut bakal menjadi pembakar semangat buat diri­nya menjelang Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Colombia bulan depan.

"Saya cuma mahu layak ke final pada Kejohanan Dunia Remaja itu nanti, itu sahaja. Saya akan buat yang terbaik selepas ini," jelas pemenang pingat gangsa Kejohanan Olahraga Remaja Asia 2015 itu.

Sebagai rekod, pingat emas dan perak disapu bersih oleh dua jaguh Vietnam, Nguyen Thi Huyen (52.00s) serta Quach Thi Lan (52.52s).

Sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment