Thursday, June 11, 2015

Snuker akhiri kempen dengan dua pingat emas


CHUAN LEONG (kiri) yang bergandingan dengan Keen Hoo dalam acara beregu tampil cemerlang untuk meraih pingat emas buat kontinjen negara semalam.

SINGAPURA – Skuad snuker negara menamatkan kempen pada Sukan SEA 2015 dengan meraih dua pingat emas menerusi acara beregu dan perseorangan.

Ia suatu pencapaian yang membanggakan buat beregu negara yang kali terakhir menang emas pada temasya di Palembang, Indonesia pada 2011.

Acara tersebut berakhir di Arena OCBC semalam dengan emas terakhir diraih oleh gandingan Thor Chuan Leong dan Moh Keen Ho.

Pada Isnin lalu, Chuan Leong membuktikan kehebatannya apabila menjuarai acara perseorangan selepas menewaskan jaguh dari Myanmar, Htet Ko pada perlawanan akhir.

Semalam, Chuan Leong sekali lagi memperagakan kemahirannya dengan membantu Keen Hoo menumbangkan pasangan Thailand, Kritsanut Lertsattayathorn dan Ratchayothin Yotharuck 3-1 pada aksi final acara beregu.

“Pada set terakhir, kami bermain dengan lebih mudah ke­rana yakin kemenangan akan memihak kepada kami. Jadi, kami teruskan permainan se­perti biasa.

“Kami hanya perlu mengumpul beberapa mata sahaja untuk bergelar juara. Saya memang sangat gembira kerana ini adalah emas kedua saya pada Sukan SEA kali ini,” kata Chuan Leong ketika ditemui di Arena OCBC semalam.

Sementara itu, Keen Hoo mengakui dia tidak merasai sebarang tekanan ketika beraksi biarpun tewas pada set pertama kepada lawan dari Thailand itu.

“Kami memang sudah tiada peluang pada set pertama. Walaupun tewas, kami cuma perlu bermain seperti biasa. Kami berjaya mengawalnya dengan baik,” jelasnya.

Lebih manis, gandingan Chuan Leong-Keen Hoo turut memperbaiki pencapaian pi­ngat gangsa yang dimenangi di Myan­mar dua tahun lalu.

Kali terakhir Malaysia menang pingat emas dalam acara beregu ialah pada Sukan SEA 2011 di Palembang, Indonesia dan ketika itu menerusi Chuan Leong yang bergandingan de­ngan Chong Tin Sam.

Acara snuker yang bermula Sabtu lalu, masih memperlihatkan Filipina tampil selaku gergasi Asia Tenggara apabila menamatkan saingan dengan pencapaian tiga pingat emas, satu perak dan lima gangsa, Singapura pula meraih dua emas, satu perak dan tiga gangsa.

Acara ini disertai tujuh negara iaitu Filipina, Singapura, Malaysia, Myanmar, Vietnam, Thailand dan Indonesia.

Sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment