Thursday, June 11, 2015

Kim Swee tetap mahu tiga mata


KIM SWEE mengingatkan para pemainnya agar tidak memandang mudah kemampuan Laos pada aksi terakhir peringkat Kumpulan B hari ini.

SINGAPURA – Jurulatih skuad bola sepak Sukan SEA negara, Datuk Ong Kim Swee tidak mahu para pemainnya memandang rendah dan bermain sambil lewa pada aksi terakhir menentang Laos di Stadium Bishan malam ini.

Selepas slot ke separuh akhir terkunci rapat, Kim Swee sedar bahawa mereka masih ada misi yang tidak kurang pentingnya iaitu mengelak aib jika tewas kepada lawan terakhir mereka dalam Kumpulan B itu.

Justeru, beliau tidak mahu aksi longlai yang dipamerkan ketika menewaskan Brunei 2-0 Isnin lalu berulang kerana bimbang Laos mampu melakukan kejutan dan tidak rela menamatkan kempen kali ini dengan rekod kekalahan.

“Saya menuntut kelainan dari segi aksi yang akan dipamerkan oleh para pemain nanti. Tidak kira apa pun yang akan berlaku, kita harus berada dalam kea­daan siap sedia.

“Kalau kita pamerkan prestasi sama seperti dengan Brunei, tidak mustahil kita akan terima padah.

“Jangan pula pemain ambil mudah perlawanan ini. Walaupun sudah tidak layak, ia tidak bermakna perlawanan ini sekadar pelengkap jadual saja, seba­liknya kesungguhan pemain tetap ditagih bagi memastikan tiga mata penuh,” katanya.

Selepas empat perlawanan, skuad negara hanya mengumpul enam mata hasil dua kemena­ngan ketika menentang Timor Leste dan Brunei, namun tewas kepada Vietnam dan Thailand, sekali gus meranapkan impian mereka untuk layak ke separuh akhir pada kempen kali ini.

Sementara itu, Kim Swee bakal menurunkan beberapa pemain utama untuk memperkuatkan pasukan selepas direhatkan pada aksi menentang Brunei tempoh hari kerana masalah ke­penatan.

“Untuk perlawanan ini, kemungkinan Matt Davies dan Mo­hammad Amer Saidin kembali memperkuatkan pasukan,” jelasnya.

Sumber:KOSMO

No comments:

Post a Comment