Thursday, June 11, 2015

Farah akhirnya genggam emas


FARAH tampil cemerlang ketika beraksi dalam disiplin senaman lantai semalam, sekali gus menggenggam emas buat kontinjen negara.

SINGAPURA – Selepas kecewa ekoran ke­gagalan memenangi pingat emas dalam acara palang bertingkat kelmarin, ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi akhirnya berjaya menebus kehampaan tersebut semalam untuk meraih pingat emas.

Disiplin senaman lantai nyata membawa tuah kepadanya apabila berjaya mengutip 13.733 mata untuk dikalungkan pingat emas dalam acara kegemarannya itu, sekali gus mengatasi gimnas dari Indonesia, Rifda Irfanalutfi yang meraih perak, manakala pingat gangsa dimenangi atlet Vietnam, Phan Thi Ha Thanh.

Farah dan Rifda serta Ha Thanh bersaing sengit, namun gimnas negara itu bertuah apabila juri menggemari gaya dan gerakan artistik yang dilakukannya untuk mengumpul 8.433 mata, berbanding Rifda dengan meraih 8.400.

“Memang saya sudah sasarkan untuk mendapatkan pingat bagi acara ini kerana senam lantai adalah acara kegemaran saya tetapi untuk menang emas, bukan sesuatu yang mudah.

“Walaupun kecewa kerana gagal meraih pingat emas (Selasa lalu), namun rakan sepasukan telah memberikan semangat kepada saya.

“Syukur sangat kerana persembahan saya agak baik walaupun bermula selaku peserta pertama, situasi itu mungkin mengurangkan sedikit tekanan ke atas saya kerana tidak perlu melihat peserta lain sebelum membuat persembahan,” katanya.

Seorang lagi gimnas negara, Tan Ing Yueh yang meraih emas dalam acara palang ber­tingkat kelmarin terpaksa berpuas hati di kedudukan keempat, dibezakan 0.100 mata dengan Ha Thanh setelah meraih 13.333 mata dalam acara tersebut.

Lebih manis buat Farah, dia turut memenangi pingat gangsa dalam acara batang titian yang berlangsung pada sebelah pagi semalam apabila mengutip 13.300 mata dan pi­ngat emas. Acara tersebut dimenangi Ha Thanh, manakala perak menjadi milik seorang lagi gimnas Vietnam, Do Thi Van Anh.

Sementara itu, gimnas lelaki negara, Ja­re­miah Loo berjaya meraih ingat perak untuk acara palang tunggal selepas me­ngutip 14.133 mata, namun terpaksa akur dengan atlet Vietnam, Dinh Phuong Thanh yang meraih emas. Pingat gangsa disapu peserta tuan rumah, Aizat Muhammad Juf­rie.

Jaremiah turut bersaing dalam acara palang sejajar tetapi hanya menduduki tangga terakhir daripada lapan peserta yang bertanding, manakala seorang lagi gimnas lelaki, Mohd. Abd. Azim Othman yang bersaing dalam acara melombol gagal meraih pingat apabila sekadar menamatkan saingan di tempat keenam daripada lapan peserta yang bertanding.

Skuad gimnastik artistik hadir ke Singapura dengan sasaran dua emas, namun berjaya melakukan pencapaian cemerlang meraih tiga emas sebaik acara tersebut me­labuhkan tirainya semalam.

Sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment