Thursday, June 11, 2015

Skuasy sapu bersih dua emas perseorangan


SANJAY (kiri) dan Rachel menunjukkan pingat emas yang mereka menangi dalam acara skuasy bagi kategori perseorangan lelaki dan wanita semalam.

SINGAPURA – Malaysia melaungkan amaran awal apabila me­nyapu bersih dua pingat emas yang dipertandingkan pada hari pertama acara skuasy di Pusat Skuasy Kallang semalam.

Ternyata, kehebatan yang dimiliki barisan pemain negara membuktikan Malaysia layak diangkat sebagai kuasa besar sukan skuasy di rantau ini apabila mendominasi kejayaan satu dua dalam kategori perseorangan lelaki dan wanita.

Dalam kategori wanita, pemain ranking ke-66 dunia, Rachel Arnold menghadiahkan pingat emas pertama apabila menewaskan rakan sepasukan, Vanessa Raj Gnanasigamani 11-13, 11-9, 11-3, 11-5.

Kejayaan tersebut merupakan pingat emas pertama buat pemain berusia 19 tahun itu dan ia dianggap sebagai permulaan cemerlang dalam kariernya.

“Saya terlalu yakin pada awal perlawanan dan kadang-kala mudah hilang fokus. Saya juga menghadapi saingan sengit namun berjaya mengawalnya dengan baik.

“Ini adalah satu berita gembira kerana ia merupakan emas pertama saya pada Sukan SEA. Saya perlu terus meningkatkan permainan jika mahu melangkah lebih jauh,” kata Rachel selepas tamat aksi final semalam.

Selepas itu, giliran Sanjay Singh Chal pula menyumbang emas kedua buat kontinjen skuasy negara selepas menang straight set 11-7, 11-3, 12-10 ke atas Muhammad Addeen Idrakie Bakhtiar dalam kategori lelaki.

Pingat gangsa kategori lelaki di­kongsi bersama dua pemain tuan rumah, Bryan Koh dan Samuel Kang selepas kedua-duanya tewas kepada pemenang emas dan perak dari Malaysia itu pada peringkat separuh akhir yang berlangsung pagi semalam.

Bagi kategori perseorangan wanita pula, Jemyca Aribado dari Filipina dan wakil Singapura, Shi Yuan Mao berkongsi pingat gangsa selepas tewas kepada Rachel serta Vanessa pada separuh akhir.

Skuad berpasukan lelaki dan wa­nita negara akan memulakan cabaran hari ini dalam misi menyapu bersih semua pingat yang dipertandingkan pada temasya kali ini.

Sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment