Thursday, June 11, 2015

Sedia gegar kolam Kazan

Wendy (bawah) bersama Nur Dhabitah beraksi raih emas 3m papan anjal seirama 

Bukan hendak mendabik dada tetapi acara terjun yang berakhir kelmarin jelas sekali membuktikan Malaysia kuasa besar di rantau ini dan sekarang ini semua atlet sudah bersedia mempamerkan kecemerlangan di Kejohanan Dunia 2015 Kazan Julai depan.

Ketua jurulatih terjun Yang Zhuliang berkata, beliau sangat gembira dengan prestasi anak buahnya dan menganggap 2015 Singapura medan terbaik mempersiapkan atlet ke Kejohanan Dunia.

“Buat masa ini kami akan bermula dari bawah kembali kerana harus bersedia bagi menghadapi Kejohanan Dunia. Jadi kami tidak ada masa untuk berehat ketika ini,” katanya selepas acara terjun menutup tirai di Pusat Akuatik OCBC semalam.

Jelasnya, semua yang mengambil bahagian di Sukan SEA akan bertanding di Kazan kecuali Traisy Vivien Tukiet.

Atlet terjun negara Malaysia mengulangi kejayaan di Sukan SEA 2013 Myanmar dengan menggondol keseluruhan lapan pingat emas ditawarkan, kelmarin.

Pandelela Rinong menutup tirai pertandingan dengan meraih emas dalam acara acara 10 meter platform wanita seterusnya mempertahankan kejuaraannya sejak di Vientiane 2009.

Selain itu, turut mempamerkan kecemerlangan ialah Ooi Tze Liang meraih empat emas sekali gus melepasi sasaran peribadi menerusi acara 10m platform seirama bersama Chew Yiwei, 3 meter papan anjal individu, 10m platform individu dan 3m papan anjal seirama bersama Ahmad Amsyar Azman.

Cheong Jun Hoong juga menguasai acara 3m papan anjal wanita tatkala gandingan Traisy Vivien Tukiet-Leong Mun Yee menghadiahkan emas 10m platform seirama dan Nur Dhabitah Sabri-Wendy Ng mengungguli 3m papan anjal seirama.



No comments:

Post a Comment